BM | EN | 中文

‘Jaga hati rakan, fokus musuh yang sama’

Dr-Zuhan.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 28 FEB: Pemikir Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain hari ini menegur kepimpinan PKR agar memberikan tumpuan kepada musuh yang sama serta menjaga hati parti rakan.

Mengulas lanjut hal itu, Zuhan sependapat dengan Timbalan Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub agar PKR tidak menerima ahli dari parti sesama Pakatan Harapan (PH).

“Bukan satu perkara yang boleh dibanggakan sekiranya kita sesama kawan membuat tindakan seperti yang terjadi hari ini.

Advertisement

“Seharusnya kita saling membantu antara satu sama lain bagi menunjangi harapan rakyat semula dan mempunyai matlamat serta fokus kepada musuh yang sama.

“Bagaimana sekiranya perkara itu terjadi contohnya ahli PKR menyatakan sokongan kepada Amanah, pastinya perasaan yang sama juga akan timbul di kalangan ahli PKR. Jadi jagalah hati kawan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menyatakan Amanah Johor pada masa ini tidak sibuk untuk menarik ahli daripada mana-mana parti rakan kerana ia tidak mendatangkan kelebihan malah mengeruhkan keadaan.

Advertisement

Tambahnya, fokus utama Amanah Johor adalah kebajikan rakyat yang semakin terhimpit dengan situasi ekonomi yang tidak menentu.

“Bagi kami fokus hanya ahli parti lawan bukan di kalangan ahli parti kawan sendiri. Tidak mendatangkan hasil dan hari ini kerajaan Johor masih tidak berubah.

“Apa yang penting adalah fokus melemahkan lawan bukan kawan, kerana kawan kita perlu kuat untuk bersama menang dalam PRU yang akan datang.

Advertisement

“Jadikan rakyat sebagai sasaran utama perjuangan kita, bukan kerusi yang banyak. Akhirnya nanti jadi seperti ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’,” katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Pengerusi Parti Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang surat rasmi dari tiga Adun mereka yang telah masuk ke dalam PKR.

Johorkini

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top