Rakyat perlu bangkit membantah budaya ahli politik yang berubah status kekayaan selepas bergelar wakil rakyat.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, wakil rakyat sepatutnya menjadikan jawatan tersebut untuk berkhidmat dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
“Kalau nak kaya, kena meniaga. Di negara lain, mereka berniaga dahulu sebelum berpolitik seperti bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,
“Di Malaysia pelik sikit. Masuk politik, miskin tetapi bila menang jadi kaya. Bukan elaun dan gaji sahaja diambil tetapi juga duit bawah meja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Bilik Operasi Utama DUN (BOUD) N21 Parit Yaani di Tongkat Pechah, dekat sini, pagi tadi.
Terdahulu, Mohamad yang juga ahli Parlimen Kota Raja telah mengadakan pertemuan dengan bersarapan bersama penduduk tempatan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Aminolhuda telah menunjukkan erti pengorbanan seorang wakil rakyat dengan meninggalkan kerjaya dalam bidang pendidikan untuk menceburkan diri dalam politik.
“Jiwanya bersama dengan rakyat dan saya yakin dia boleh pertahankan kerusi di DUN ini.
“Cikgu Aminolhuda kalau mahu hidup senang memang mudah tetapi dia pilih jalan begini,” katanya.
Aminolhuda merupakan penyandang di kerusi itu selama dua penggal berturut-turut.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan selepas pembubaran DUN pada 23 Januari 2022.
AMANAH yang bertanding di bawah logo PH meletakkan 16 calon termasuk daripada sayap wanita dan pemuda.
Tarikh penamaan calon akan diadakan pada 26 Februari, pengundian awal pada 8 Mac dan pengundian pada 12 Mac.
Seramai 2.6 rakyat Johor layak mengundi pada PRN kali ke-15 ini.
Undian ini penting untuk menentukan masa depan Johor bagi tempoh lima tahun lagi.
Para pengundi yang berada di luar Johor diharapkan pulang mengundi untuk memilih calon wakil rakyat di tempat masing-masing.
Sekiranya pengundi berdepan kesukaran untuk pulang mengundi, sila layari johorngundi.com untuk mendapatkan bantuan atau memberi sumbangan.