BM | EN | 中文

Jabatan Perkhidmatan Veterinar luluskan 39 rumah sembelih di luar negara

Jabatan-Perkhidmatan-Veterinar.png
Advertisement

PUTRAJAYA, 9 DIS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah meluluskan sebanyak 39 rumah sembeli terdiri daripada 28 rumah sembelih lembu di Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan serta 11 rumah sembelih kerbau di India dan Pakistan.

DVS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kesemua rumah sembelih tersebut telah melalui pemeriksaan audit oleh DVS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rumah sembelih kerbau di India sebelum kelulusan diberikan.

Senarai penuh rumah sembelih mengikut negara sumber yang telah diluluskan boleh dilayari dalam laman sesawang www.dvs.gov.my.

Advertisement

“Pengimportan daging secara sah perlu diperoleh daripada sumber negara dan rumah sembelih yang telah diperiksa dan diluluskan oleh DVS dan Jakim bersama KKM untuk rumah sembelih kerbau di India, sebagai jaminan keselamatan makanan dan status halal,” menurut kenyataan DVS itu.

Menurut kenyataan itu, DVS memandang serius isu penyeludupan daging oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti yang dibongkarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jakim baru-baru ini.

“Aktiviti penyeludupan dan pembungkusan semula daging yang menyalahi undang-undang pastinya menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif kepada daging yang diimport secara sah melalui sistem kelulusan import ditetapkan kerajaan menerusi DVS dan Jakim,” menurut kenyataan itu.

Advertisement

Menurut kenyataan itu, kebenaran import hanya diberikan kepada syarikat yang berdaftar dengan DVS dan setiap konsainan import perlu dibuktikan dengan dokumen perakuan sah oleh pihak berkuasa negara pengeksport seperti Sijil Kesihatan Veterinar oleh pihak berkuasa Veterinar, Sijil Halal oleh badan Islam yang diperakui Jakim serta mendapat kelulusan permit import Maqis.

“Setiap konsainan daging yang diimport setelah melepasi semua prosedur ditetapkan akan dijalankan pemeriksaan fizikal dan verifikasi dokumen oleh Maqis di pintu masuk sebelum diberikan pelepasan memasuki negara,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo Halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top