BM | EN | 中文

Jabatan Perhutanan fokus perkasa eko-pelancongan bantu jana pendapatan negeri

taman-negara-johor.jpg
Advertisement

BATU PAHAT, 2 OKT: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan terus memberi fokus memperkasakan sektor eko-pelancongan bagi membantu kerajaan negeri menjana pendapatan alternatif daripada sumber hutan.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang berkata sebelum ini, kerajaan negeri banyak bergantung kepada aktiviti pembalakan bagi mendapatkan hasil, sedangkan produk hutan tidak hanya melalui industri perkayuan semata-mata.

“Sumber hutan bukan sekadar mengeluarkan kayu balak tetapi keunikan landskap serta daya tarikan semula jadi mampu dibangunkan sebagai produk ekopelancongan,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan Kursus Malim Gunung Perhutanan, di sini semalam.

Advertisement

Gambar Ehsan Jabatan Perhutanan Johor

Beliau berkata aktiviti pendakian gunung yang menjadi semakin popular dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggiat pelancongan kembaraan boleh memberi hasil kepada kerajaan negeri dan pihak yang terlibat dalam industri pelancongan.

“Sejak akhir-akhir ini, aktiviti mendaki mendapat sambutan menggalakkan sehingga ada sesetengah kawasan melebihi kapasiti kemampuan dan terpaksa dihadkan. Melalui promosi yang giat, aktiviti ini akan terus berkembang dan dapat menarik pelancong asing apabila pintu sempadan negara dibuka nanti,” katanya.

Mohd Ridza berkata JPSM memperkenalkan Kursus Malim Gunung Perhutanan yang julung kali itu di Semenanjung bagi membangunkan model pengurusan kawasan pendakian di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Advertisement

Bagi tujuan itu, beliau berkata JPSM berusaha untuk mendaftar setiap malim gunung yang terdiri daripada penduduk tempatan bagi aktiviti pendakian gunung dalam HSK di bawah JPSM.

“Terdapat insiden kemalangan dilaporkan di Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri seperti orang hilang, kecederaan semasa menjalankan aktiviti pendakian dan laporan orang sesat atau tersasar daripada laluan denai pendakian. Maka, modul kursus ini dibangunkan bagi menangani kes-kes tersebut,” katanya.

Beliau berkata JPSM juga bercadang memperkenalkan Kursus Lanjutan Malim Gunung Perhutanan dan Kursus Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi Perhutanan bermula 2022.

Advertisement

Pada majlis itu, 60 penggiat pelancongan kembaraan di Johor menerima sijil selepas menjalani kursus Malim Gunung Perhutanan selama lima hari, antaranya di Hutan Simpan Bukit Payong di sini bermula 27 Sept, yang menekankan aspek pengetahuan asas ilmu perhutanan dan latihan menyelamat dan pertolongan cemas.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top