JOHOR BAHRU, 24 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Johor menasihati rakyat negeri ini untuk tidak panik ekoran lapan pelancong warga China yang diperiksa sama ada positif dijangkiti wabak coronavirus.
Pengarahnya, Dr Aman Rabu memberitahu, lapan pelancong itu kini diasingkan dan diperiksa di sebuah hotel, di bandar raya ini.
“Saya menasihati masyarakat agar tidak berasa bimbang dengan perkara ini kerana langkah sewajarnya telah diambil Jabatan Kesihatan Negeri.
“Pihak kami turut menjalankan kerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk melaksanakan saringan kesihatan di kesemua pintu masuk ke negara ini, termasuklah Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar,” katanya ketika dihubungi wartawan, di sini hari ini.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye memaklumkan lapan pelancong yang memasuki Johor menerusi Singapura itu mempunyai hubungan dengan individu yang disahkan menghidap coronavirus di republik tersebut.
“Lapan orang pelancong itu bukan pesakit, mereka hanya diperiksa sama ada terdapat simptom penyakit tersebut.
“Buat waktu ini tiada simptom yang ditunjukkan mereka namun saringan kesihatan akan dibuat selama satu minggu,” katanya ketika membuat lawatan berhubung saringan kesihatan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Sebelum ini, seorang warga China berusia 66 tahun daripada Wuhan yang melancong ke Singapura dilaporkan positif dijangkiti coronavirus.
Johorkini