JOHOR BAHRU, 17 FEB: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan kes Covid-19 (koronavirus) di Sekolah Kebangsaan Cina Ko Kuang, Skudai seperti mana kenyataan yang tular di laman sosial.
Dalam satu kenyataan dimuat naik dalam Facebook, JKNJ memaklumkan bahawa berita tersebut adalah tidak benar.
“Jabatan Kesihatan Negeri Johor ingin membuat penafian mengenai kenyataan viral yang tersebar berkenaan terjadinya kes koronavirus di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Ko Kuang, Skudai, adalah tidak benar.
“Orang awam diminta tidak menyebarkan berita yang tidak sahih kerana akan mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan tersebut.
JKNJ juga mengingatkan orang ramai bahawa penyebaran berita palsu seperti itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga denda selanjutnya RM1000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas persabitan.
Johorkini