BM | EN | 中文

Jabatan Kesihatan Negeri Johor siasat wanita bersalin seorang diri di HSI

Hospital-Sultan-Ismail-HSI.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 1 SEPT: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan menyiasat secara terperinci kejadian seorang wanita yang bersalin seorang diri di dewan bersalin Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, bulan lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Aman Rabu, berkata aduan yang diterima itu adalah berasas dan pihaknya akan mengambil tindakan penambaikan yang diperlukan.

Beliau berkata, merujuk kepada gambar yang tular di Facebook (FB) bertarikh pada 31 Julai lalu, pesakit wanita berkenaan didapati hadir ke bilik saringan HSI pada 23 Julai jam 5.33 pagi kerana mempunyai tanda awal hendak bersalin.

Advertisement

Katanya, wanita berusia 35 tahun itu juga mengandung anak keempat dengan usia kandungan 39 minggu, namun beliau adalah kontak rapat kepada suaminya yang positif COVID-19.

“Pesakit diperiksa pegawai perubatan dan didapati di peringkat awal kelahiran, sebelum dimasukkan ke bilik isolasi di HSI jam 10.18 pagi sementara menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 yang dilakukan.

“Pesakit diletakkan di dewan bersalin (bilik nombor dua) dengan pintu bilik sentiasa ditutup kerana pesakit adalah kes positif COVID-19 dan bilik itu juga berada agak jauh dari kaunter jururawat.

Advertisement

“Pegawai perubatan dan jururawat sudah melakukan ‘donning’ dan pemeriksaan ke atas pesakit jam 4.26 petang.

“Hasil ujian saringan mendapati pesakit itu positif COVID-19 dan keputusan untuk melahirkan anak melalui pembedahan dibuat pakar yang bertugas. Pesakit kemudiannya disiapkan untuk menjalani pembedahan,” katanya, lapor Berita Harian.

Semalam, tular di media sosial seorang wanita membuat hantaran di FB mendakwa terpaksa melahirkan anak seorang diri di bilik pengasingan khas bagi ibu hamil yang positif COVID-19 selepas panggilannya untuk meminta bantuan kakitangan hospital tidak dilayan.

Advertisement

Dr Aman berkata, oleh kerana pesakit terbabit positif COVID-19 dia perlu ditempatkan di ruang isolasi yang tertutup.

Katanya, proses bersalin pesakit berlaku di luar jangkaan, iaitu lebih awal daripada tempoh jangkaan bersalin yang dianggarkan enam jam lagi.

“Pesakit bersalin secara bersendirian dan bayinya didapati berada di atas katil pesakit. Proses ‘donning’ mengambil masa sebelum bantuan kakitangan bertugas dapat diberikan kepada pesakit,” katanya.

Advertisement

Mengulas dakwaan pesakit mendengar bunyi ketawa kakitangan hospital di luar bilik isolasi itu, Dr Aman berkata, ia berkemungkinan daripada bunyi bising di bilik bersalin berhampiran yang sedang melakukan prosedur kelahiran bayi secara vakum.

“Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan secara terperinci mengenai kejadian ini dan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top