BM | EN | 中文

Jabatan Kesihatan Johor pantau premis makanan berisiko tinggi

Vidyananthan-Ramanadhan-Kahang.jpg

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan.

JOHOR BAHRU, 21 MEI: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah memulakan aktiviti pemantauan keselamatan makanan bulan Ramadan bermula 28 April lalu melalui pemeriksaan ke atas premis makanan berisiko tinggi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan antara premis dimaksudkan ialah seperti kilang makanan yang menghasilkan ais, air minuman, makanan mentah dan restoran yang menjual makanan berbuka puasa.

Selain itu, pemeriksaan juga dilakukan ke atas premis penjualan dari rumah (home-based) termasuk lain-lain premis makanan seperti food truck, kiosk atau gerai yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Fokus pemeriksaan tertumpu kepada tahap pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 merangkumi tahap fizikal dan sanitasi premis serta amalan kebersihan pengendali makanan.

“Sepanjang pemeriksaan, anggota kesihatan juga memberikan nasihat dan pengedaran bahan promosi agar pengendali makanan mengamalkan tahap kebersihan tinggi untuk mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kejadian keracunan bawaan makanan dan air kepada pengguna,” katanya.

Vidyananthan turut mengingatkan orang ramai untuk mematuhi arahan kerajaan yang tidak membenarkan semua perniagaan bazar Ramadan termasuk secara pandu lalu serta tempah dan ambil sepanjang tempoh penguatkuasaan PKPB merujuk kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 16 April lalu.

Dalam pada itu beliau menyarankan orang ramai memuat turun aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan sebarang informasi berhubung status kesihatan kendiri.

Selain itu, aplikasi itu juga membolehkan orang ramai untuk menjejak kawasan zon merah wabak pandemik COVID-19 dan lokaliti fasiliti saringan yang terdekat.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan nasihat secara atas talian menerusi penasihat kesihatan virtual.

“Kelebihan lain yang terdapat pada aplikasi MySejahtera ialah beberapa maklumat tambahan dan terkini mengenai isu rokok dan COVID-19, nombor Hotline COVID-19, Prosedur Operasi Standard (SOP) pembukaan ekonomi dan situasi semasa COVID-19,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top