JOHOR BAHRU, 21 OKT: Taktik sebuah sindiket mengisytiharkan dadah sebagai biji kopi bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila 14 guni dadah yang disembunyikan di dalam sebuah kontena, dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri pada 16 Okt lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata dadah seberat 398.28 kilogram dan bemilai kira-kira RM14.33 juta itu ditemukan hasil pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Beliau berkata pihaknya sebelum itu dimaklumkan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) mengenai satu kontena dari Guatemala yang dijangka melalui PTP sebelum ke Filipina, dipercayai membawa dadah jenis methamphetamine.
Razarudin berkata pihaknya percaya sindiket terbabit menjalankan aktiviti penyeludupan dadah melalui jalan laut dari luar negara dan menjadikan pelabuhan Malaysia sebagai transit sebelum bahan terlarang itu diseludup ke negara ketiga.
“Apabila kontena ini dibuka, kita dapati daripada 100 guni yang diisytiharkan sebagai biji kopi yang sepatutnya dihantar ke Filipina, ada 14 guni yang berisi dadah yang kita jangka boleh digunakan seramai kira-kira 1.99 juta penagih dadah.
“Ini kali pertama berlaku di PTP,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Razarudin berkata bagaimanapun, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pihaknya masih menjalankan siasatan serta menunggu arahan dan maklumat daripada PDEA untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, syarikat perkhidmatan kontena di PTP itu dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan dadah terbabit berikutan mereka hanya menyediakan perkhidmatan selain menjalankan sistem pengurusan kontena secara dalam talian.
Mengulas mengenai penahanan seorang rakyat Malaysia yang disyaki cuba menyeludup masuk dadah seberat 450 kilogram heroin bernilai RM431.8 juta ke Australia baru•baru ini, beliau berkata lelaki terbabit bukan keldai dadah.
“Lelaki berumur 38 tahun itu telah masuk ke Australia pada Januari tahun lepas. Saya boleh menolak kemungkinan bahawa dia bukan keldai dadah sebab sudah masuk ke negara itu pada Januari 2020.
“Kalau keldai dadah yang kita nampak (modus operandinya) adalah membawa dadah menggunakan kapal terbang turun di lapangan terbang dan ditangkap. Tetapi dia sudah duduk lebih setahun di Australia,” katanya.
Beliau berkata kes berkenaan masih dalam siasatan dan maklumat yang diberikan oleh pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) dapat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan lebih menyeluruh.
“Siasatan mungkin akan mengambil masa antara seminggu hingga sebulan kerana kita mahu mendapatkan risikan maklumat bernilai dan berinformasi serta berkualiti.
“Kita boleh juga membuat siasatan lebih kurang tetapi tidak berkualiti, kita tidak mahu macam itu kerana ini sindiket yang besar dan memerlukan siasatan rapi,” katanya.
Pada 17 Okt lepas, PDRM sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup dadah ke negara itu.
Bernama