BM | EN | 中文

ISYTIHAR HARTA ADUN, LANGKAH REFORMASI KERAJAAN JOHOR

IMG-20191202-WA0001.jpg

ISKANDAR PUTERI, 2 DIS: Usul agar Ahli Dewan Negeri (Adun) Johor mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan langkah mereformasikan kerajaan Johor ke arah negeri berprestasi tinggi.

Adun Mengkibol Chew Chong Sin berkata, melalui langkah itu dan sebagai kerajaan reformis, pembaharuan polisi adalah teras utama bagi memastikan ketelusan pentadbiran negeri.

“Selaku Adun Mengkibol, saya menyokong penuh usaha kerajaan Johor ini.

“Saya juga akan menjadi antara yang terawal dalam menyahut seruan ini demi kelestarian dan ketelusan pentadbiran kerajaan negeri Johor di bawah kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan,” kata Chong Sin dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kerajaan yang dipilih hari ini melalui proses demokratik harus terbuka kepada pengawasan (scrutiny) oleh rakyat demi mengelak berlakunya penyelewengan.

“Untuk menjadi sebuah kerajaan yang demokratik, Data Kerajaan Terbuka (Open Government Data) yang dilaungkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sangat penting.

“Ini adalah demi menghormati hak mendapatkan maklumat dan kebebasan untuk mendapatkan maklumat.

“Pembaharuan polisi haruslah dijadikan agenda utama Kerajaan Negeri Johor,” kata Chong Sin.

Untuk rekod, Pulau Pinang dan Selangor yang berjaya mengambil alih tampuk kepimpinan negeri daripada Barisan Nasional telah berjaya menggubal undang-undangnya, iaitu Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 dan Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2011

Terdahulu pada 1 Julai, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya turut menggesa semua kerajaan negeri melaksanakan pengisytiharan harta oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai satu komitmen terhadap aspek integriti dan ketelusan dalam negara.

Kerajaan negeri Perak juga sudah mewajibkan Adun negeri itu mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Difahamkan, pengisytiharan harta tersebut bukan sahaja di kalangan Adun, malah juga diwajibkan kepada pegawai-pegawai pentadbiran kerajaan negeri tersebut.

Semalam DUN Johor membawa usul untuk dibawa ke peringkat rundingan bagi mewajibkan semua Adun Johor mengisytiharkan harta.

Usul tersebut dibawa Menteri Besar, Datuk Dr Sahrudin Jamal dan turut dibahaskan pembangkang yang diwakili Adun Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Adun Kahang, R Vidyananthan.

Namun ketika Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat membuka ruang untuk undian, Adun-Adun pembangkang tidak mengundi usul berkenaan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top