BM | EN | 中文

ISU WANG SAGUHATI NELAYAN AKAN DISELESAIKAN SEGERA – SALAHUDDIN

salahuddin-ayub-1.jpg
Advertisement

Oleh: Siti Nursyahidah Abu Bakar

PONTIAN, 5 NOV : Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan cuba menyelesaikan isu tuntutan wang saguhati oleh kira-kira 800 nelayan di Tanjung Piai dengan kadar segera.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau akan berhubung dengan kerajaan negeri untuk menunaikan tuntutan tersebut.

Advertisement

“Saya telah menyemak permohonan itu dan ia adalah di bawah kerajaan negeri. Saya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Menteri Besar hari ini dan di pihak kementerian sendiri telah ada sedikit peruntukan tambahan untuk kita sampaikan dalam bentuk bantuan kepada nelayan.

“Ini ekoran daripada beberapa lawatan yang telah saya buat dan isu ini telah sampai ke pengetahuan saya. Hasil daripada itu kita akan  dengan segera cuba mengatasi apa yang dituntut nelayan ini,” katanya dalam sidang media selepas program walkabout di pasar pagi Pekan Serkat, di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan kekecewaan kira-kira 800 nelayan di kawasan Tanjung Piai apabila wang saguhati yang pernah dinikmati mereka sejak 2016 sumbangan kerajaan negeri masih belum diterima sehingga kini.

Advertisement

Ditanya sama ada wang saguhati itu merupakan peruntukan di bawah tabung Yayasan Nelayan Johor yang pernah dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, Salahuddin berkata, perkara itu perlu diselidik terlebih dahulu.

“Kita kena semak sama ada tabung itu wujud lagi atau tidak kerana itu di bawah kerajaan dulu.  Jadi kita kena tengoklah duit itu ke mana, ada atau tidak duit itu.

“Ini memerlukan kepada semakan yang teliti. Kita akan tunaikan berdasarkan kepada fakta dan kesahihan maklumat yang kita dapat,” katanya.

Advertisement

Salahuddin berkata, pihaknya juga akan melakukan pemutihan bagi memastikan hanya nelayan yang layak menerima wang saguhati tersebut.

“Biarlah mereka yang benar-benar berhak akan dapat pampasan atau apa jua bantuan yang diperlukan mereka,” katanya.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top