BM | EN | 中文

Isu tempatan di Segamat diperjuang Adun Kemelah, antaranya kenaikan cukai tanah

Dr-Sulaiman-Mohd-Nor.png

SEGAMAT, 16 SEPT: Isu semasa berkaitan kebajikan dan pembangunan negeri Johor dengan tumpuan kepada daerah Segamat telah dibawa oleh Adun Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor, ke dalam sidang Dewan Negeri Johor baru-baru ini.

Dr Sulaiman berkata antara isu hangat yang diperkatakan sejak awal tahun ini berkenaan cukai tanah yang meningkat berkali ganda dari kelaziman akibat pengkategorian jenis tanah, termasuk kategori desa yang menjadi bandar.

Katanya, Adun Pakatan Harapan (PH) bukan berniat mempolitikkan isu ini seperti tuduhan Adun kerajaan PN dalam dewan.

Namun katanya, ia terjadi ketika Menteri Besar sebelum ini (Sahruddin Jamal) yang tidak meminta pandangan para Adun sebelum pewartaan undang-undang berkaitan kenaikan cukai.

Tambah Dr Sulaiman mereka yang mewakili rakyat telah meminta diadakan pertemuan dengan Sahruddin seawal Januari 2020 dan dua pertemuan diadakan.

“Yang pertama dipengerusi oleh Menteri Besar dan kedua oleh wakil beliau,” kata Dr Sulaiman.

Beliau mendedahkan, pada mesyuarat kedua difahamkan suatu persetujuan telah dicapai bahawa kerajaan ketika itu akan mempertimbangkan rebat bagi pembayar cukai pada penghujung tahun 2020.

“Sidang dewan adalah medan bagi wakil rakyat membahas isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negeri. Malangnya Mesyuarat Kedua bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor yang ke-14 hanya berlangsung dua hari sahaja.

“Banyak soalan lisan terpaksa dijawab secara bertulis disebabkan kekangan masa. Begitu juga perbahasan penting seperti kesan Covid-19 terhadap bangsa dan Negeri Johor.

“Ini juga termasuk perbahasan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar semasa perasmian Penggal Persidangan Ketiga yang menjadi amalan sebelum ini dan dewan adalah wadah utama segala permasalahan dan kepentingan rakyat dibangkit dan dibincang.

“Tanpa rakyat, kami tidak akan menjadi wakil rakyat,” kata Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu.

Tambahnya, sebelum ini Menteri Besar ada menyatakan rebat 15 peratus bagi pembayar cukai tanah bagi tahun 2020, dan rundingan agar kadar lebih munasabah dicadangkan.

“Namun kekangan masa menyebabkan isu ini tidak dapat dibahas dengan lebih mendalam, agar kedua pihak, iaitu pembayar cukai dan kerajaan negeri sebagai penerima dapat berada dalam keadaan menang-menang (win-win),” ujarnya lanjut.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top