BM | EN | 中文

Isu tanah orang asli Stulang Laut: Kerajaan Johor usaha selesai luar mahkamah – KPLB

Kampung-Orang-Asli-Kuala-Masai-Pasir-Gudang-Johor.jpg

Kampung Kuala Masai di Pasir Gudang menjadi kawasan petempatan baru orang asli suku Seletar yang dipindahkan dari Stulang Laut (Gambar Ehsan FB Nazier Nazier)

PASIR GUDANG, 26 OGOS: Kerajaan negeri Johor sedang mengusahakan penyelesaian di luar mahkamah berhubung pampasan yang perlu dibayar kepada orang asli Stulang Laut yang tanah mereka diambil untuk pembangunan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam jawapan bertulis kepada soalan ahli parlimen Pasir Gudang (Hassan Karim – PH), kes tersebut masih di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan atas isu keputusan penambahan oleh responden ketiga, iaitu Pejabat Tanah Daerah (PTD) Johor Bahru.

“Beberapa siri perbincangan antara kedua pihak iaitu kerajaan Johor dengan pihak orang asli bagi penyelesaian luar mahkamah telah diadakan.

“Keputusan mahkamah sebelum ini tidak menentukan nilai pampasan yang perlu dibayar.

“Justeru masih ada ruang perbincangan antara kedua belah pihak bagi mencapai kata persetujuan dalam menentukan nilai pampasan tersebut.

“Untuk makluman Yang Berhormat, pihak kerajaan Johor melalui Pejabat Penasihat Undang-undang negeri Johor akan mengadakan pertenuan dengan agensi-agensi kerajaan terlebih dahulu bagi perbincangan lanjut berkenaan penyelesaian luar mahkamah yang disyorkan oleh peguam pemohon bagi kes tersebut,” menurut jawapan bertulis KPLB kepada Hassan Karim yang dilihat Johorkini.

Hassan pada 17 Ogos ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) bertanyakan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar tentang isu pampasan tanah Orang Asli Kaum Seletar Stulang Laut yang kini ditempatkan di Kg. Kuala Masai dalam Parlimen Pasir Gudang.

Dalam soalannya Hassan berkata, tanah adat yang didiami orang asli suku Seletar di Stulang Laut itu kini telah dibangunkan Zon Bebas Cukai yang diambil ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Kes telah dibawa ke mahkamah, Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah memberi ‘award’ atau keputusan bahawa kerajaan mesti bayar pampasan kepada penduduk orang asli kaum Seletar yang dipindahkan cara paksa ke Kampung Kuala Masai selepas tanah mereka diambil,” kata Hassan.

Pada 3 Jun 2019, seramai 51 Orang Asli Seletar dari Kampung Orang Asli Kuala Masai, memfailkan permohonan semakan kehakiman mandamus di Mahkamah Tinggi Johor Bahru bagi menyelesaikan isu pampasan tanah di Stulang Laut, di sini, yang masih tertangguh sejak sepuluh tahun lepas.

Diketuai Kelah Lah, 38, dan Khalip Bachik, 57, kesemua Orang Asli tersebut sebelum ini berjaya dalam saman pemula yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi terhadap tiga defendan pada 2008 iaitu Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 September 2010, semua Orang Asli itu perlu dibayar pampasan mengikut Akta Pengambilan Balik Tanah 1960, berhubung pengambilan balik yang salah di sisi undang-undang dan pampasan itu perlu ditaksir oleh Pentadbir Tanah Johor Bahru.

Pada 18 Jun 2019, Mahkamah Tinggi menggalakkan rundingan dapat dilakukan antara orang asli Kuala Masai dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor berhubung tuntutan yang dibuat berkenaan isu pampasan tanah oleh suku kaum Seletar itu.

Manakala pada Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Johor Bahru membenarkan 51 Orang Asli Seletar dari Kampung Orang Asli Kuala Masai meminda dua senarai responden mereka dalam isu pampasan tanah di Stulang Laut yang masih tertangguh.

Ia membabitkan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG) kepada Pentadbir Tanah Daerah Johor Bahru.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top