BM | EN | 中文

Isu kestabilan politik bergema di sidang DUN Johor

Parit-Yaani-PH-Aminolhuda-Hassan.jpg

ISKANDAR PUTERI, 13 SEPT: Perbahasan berkenaan isu kestabilan politik di negeri Johor dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Aminolhuda Hassan dalam ucapan penangguhan beliau di Dun hari ini.

Ucapannya telah menyentuh soal pengukuhan institusi kepimpinan dalam menjaga rakyat di negeri ini agar perkara yang dirancang oleh kerajaan mampu dilaksanakan.

“Dalam ketidakstabilan politik ini, ia akan membuatkan pelbagai agenda yang dirancang oleh kerajaan kepada rakyat tidak akan tercapai.

“Ketidakstabilan ini membuatkan kepimpinan negeri ini terpaksa menjaga hati sahabat mereka agar tidak melakukan perbuatan sehingga tergugurnya kerajaan yang ada hari ini.

“Justeru itu bagaimana rakyat akan menikmati pemerintahan yang baik sekiranya perkara ini terus berlaku?

“Inilah akibatnya bila mereka merampas kerajaan di tengah jalan bukan melalui cara demokrasi yang diamalkan di negara ini,” katanya dalam ucapan penangguhan pada sidang DUN di Kota Iskandar, hari ini.

Beliau yang merupakan Adun Parit Yaani turut menempelak tindakan sesetengah pemimpin yang mendesak untuk mengadakan pilihanraya tetapi dalam pada masa yang sama demokrasi tersebut telah dirosakkan.

Tambahnya, akta anti lompat parti juga perlu diwujudkan bagi mengekang ketidakstabilan politik daripada berlaku di negeri ini.

“Pastinya selepas ini sekiranya mereka kalah, amalan jual beli wakil rakyat akan berlangsung lagi dan sekali lagi kerajaan akan berubah.

“Yang menanggung kesannya adalah rakyat kerana kestabilan politik itu tidak terzahir apabila keutamaan dihalakan ke arah Adun atau Ahli Parlimen yang mereka beli.

“Suara rakyat pastinya mati dan menjadi jauh akibat dari keutamaan kerajaan fokus kepada mereka yang melompat tadi.

“Inilah persoalan yang kita mahu dewan yang mulia ini bahaskan (iaitu) usul anti lompat parti diadakan dalam dewan ini.

“Parit Yaani mahu rakyat terus dipelihara dan diutamakan, bukan kepada pemimpin yang tidak ada intergriti dan berkepentingan.

“Rakyat kini dilihat seperti tidak menjadi kepentingan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor apabila kerajaan lebih sibuk menguruskan Adun PN dari keluar serta kembali bersama Pakatan Harapan (PH),” katanya lagi.

Johorkini

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top