PASIR GUDANG, 12 JUL: Masalah kerosakan Lebuhraya Pasir Gudang di sini akan dibawa ke Dewan Rakyat, kata ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
Menurut beliau, isu infrastruktur yang melibatkan keselamatan orang ramai itu telah berulangkali berlaku dan memerlukan penyelesaian yang tuntas.
“Saya telah bercakap hal ini di Parlimen sebelum ini, dan di mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Johor Bahru.
“Saya akan suarakan lagi hal ini di Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 13 Julai 2020.” kata Hassan dalam satu kenyataan semalam.
Hassan menambah, beliau dan pegawai pusat khidmatnya kerap melakukan tinjauan dan terbaharu semalam menunjukkan kualiti turapan jalan yang tidak sempurna.

Keadaan Lebuhraya Pasir Gudang yang berlubang dan diturap semula
“Gambar-gambar ini diambil pada pagi Sabtu 11 Julai 2020 menunjukkan turapan lebuhraya Pasir Gudang di kawasan berhampiran Taman Masai Utama.
“Kawasan tersebut banyak berlubang sebelum ini.
“Saya berharap turapan tar itu dibuat mengikut syarat yang telah ditetapkan piawai atau standardnya supaya tidak mudah terbungkas dan berlubang lagi.
“Lebuhraya Pasir Gudang di bawah tadbiran Kementerian Kerjaraya Kerajaan Persekutuan dan berada dalam kerja-kerja pemulihan.
“Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan wang yang banyak untuk tujuan menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang.
“Sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang saya berharap Lebuhraya Pasir Gudang dinaik taraf betul-betul bukan sekadar tampal-tampal tempat berlubang sahaja,” katanya lagi.
[ Jom sertai kumpulan Telegram Johorkini ]
Selain dari masalah kualiti jalan dan turapan, pengguna Lebuhraya Pasir Gudang turut berdepan masalah antaranya ketiadaan lampu atau lampu rosak di sebahagian jajaran lebuhraya tersebut.
Difahamkan kerja-kerja naiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang yang bermula pada 2017 dengan jarak keseluruhan 28km memakan kos berjumlah RM752 juta.
Ia melibatkan empat fasa, iaitu Fasa 1 (Kangkar Tebrau – Plentong), Fasa 2a (Plentong – Seri Alam/Taman Rinting), Fasa 2b (Seri Alam/Taman Rinting – Pasir Gudang) dan Fasa 3 (Perling – Kangkar Tebrau).
Johorkini