BM | EN | 中文

Isu kartel polis: Siasatan dalaman tak memadai, SPRM perlu dilibatkan – Gobind

Gobind-Singh-Deo.jpg

Gambar Ehsan liveatpc.com

Advertisement

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki bahawa badan itu tidak berhasrat campur tangan di dalam isu ‘kartel’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah tidak munasabah.

Ahli parlimen Puchong, Gobind SIngh Deo berkata, undang-undang di negara ini menetapkan bahawa laporan rasuah di dalam sektor awam atau swasta terletak di bawah bidang kuasa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Tegasnya, salah satu tujuan utama SPRM ditubuhkan adalah untuk mengendalikan masalah sebegini dan SPRM telah diberikan kuasa yang luas bagi tujuan ini.

Advertisement

“Jika begitu, adakah semua jabatan, sama ada awam atau swasta di mana kes sebegini berlaku, patut hanya melakukan siasatan dalaman sahaja?

“Jikalau begitu, mengapakah sebelum ini terdapat kes serupa yang dikendalikan secara berbeza, disiasat oleh SPRM dan kemudiannya didakwa di mahkamah?

“Kenapa tidak kes-kes tersebut dikendalikan secara dalaman sahaja? kata Gobind dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Tambah beliau, aspek penting dalam sesuatu siasatan adalah untuk memastikan tiada unsur berat sebelah oleh pihak yang mengendalikannya dan memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat di dalam siasatan tersebut.

“Mereka yang mengendalikan siasatan seharusnya tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara tersebut mahupun mempunyai sebarang hubungan dengan mereka yang akan disiasat.

“Bagaimanakah sebuah siasatan dalaman boleh memadai apabila kes ini melibatkan pihak polis itu sendiri? Oleh sebab itulah SPRM perlu dilibatkan” katanya lagi.

Advertisement

Gobind turut mencadangkan Azam Baki mendapatkan nasihat undang-undang daripada Peguam Negara.

“Perkara ini adalah satu perkara yang serius yang melibatkan kepentingan awam.

“Jika kita benar-benar mahu membersihkan dan memperkasakan pasukan polis dengan menyelesaikan permasalahan seperti ini, maka marilah kita melakukannya dengan langkah yang betul, ke arah haluan yang betul,” ujarnya lagi.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top