KUALA LUMPUR, 28 DIS: Menteri Penganggkutan, Wee Ka Siong perlu berhenti berdolak-dalik dan akur dengan hasrat rakyat Pulau Pinang untuk mengekalkan perkhidmatan feri yang telah menjadi ikon negeri itu.

Senator Lim Hui Ying
Ahli Dewan Negara, Senator Lim Hui Ying berkata, Wee begitu terdesak sehingga sanggup memutarbelitkan kenyataan sebagai hujah untuk menyokong rancangannya menghentikan perkhidmatan feri Pulau Pinang.
“Wee Ka Siong melalui Facebook milik beliau semalam mendakwa saya bersetuju dengan rancangannya untuk menghentikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan berkata kononnya saya menyokong cadangan menggunakan katamaran untuk menggantikan feri yang sedia ada.
“Pendirian saya sepertimana dalam ucapan di Dewan Negara sudah jelas: Kekalkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik,” kata Hui Ying dalam satu kenyataan hari ini.
Hui Ying berkata, Wee turut memutarbelit kenyataan bahawa hanya bekas menteri kewangan Lim Guan Eng yang menentang pemberhentian perkhidmatan feri, manakala Anthony Loke memutuskan untuk menghentikan operasi feri semasa menjadi Menteri Pengangkutan.
“Ini bukan kali pertama MCA cuba memecahbelahkan kepimpinan DAP dengan penipuan,” kata Hui Ying.
Beliau berkata, pihaknya tidak membantah pengenalan perkhidmatan katamaran, namun kerajaan harus meneruskan perkhidmatan feri ikonik, walaupun dengan kekerapan rendah sebagai perkhidmatan tambahan kepada perkhidmatan katamaran yang baru.
“Saya turut menyeru kerajaan Persekutuan mengekalkan dua feri ikonik, berbanding tiga yang sedang beroperasi sekarang agar sistem pengangkutan air Pulau Pinang yang unik dan bersejarah dapat diteruskan walaupun perkhidmatan katamaran mula beroperasi kelak,” ujarnya.
Beliau menjelaskan pengekalan perkhidmatan feri itu telah diputuskan kerajaan Pakatan Harapan dan disahkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul.
“Tengku Zafrul mengesahkan di Parlimen bahawa mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, telah mengenakan syarat bertulis kepada Penang Port Sdn. Bhd. untuk meneruskan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang dengan pemberian geran tunai RM30 juta oleh kerajaan persekutuan ketika itu,” katanya lagi.
Johorkini