BM | EN | 中文

Isu banjir di Kg Seri Gambut dan Kg Melayu Raya perlu penyelesaian segera – Adun Pekan Nanas

Isu-banjir-di-Kg-Seri-Gambut-dan-Kg-Melayu-Raya-perlu-penyelesaian-segera-Adun-Pekan-Nanas.png
Advertisement

PONTIAN, 7 OKT: Keadaan sungai yang terlalu cetek kerana dipenuhi pasir menyebabkan paras sungai menjadi tinggi walaupun hujan tidak terlalu lebat dikenalpasti antara punca banjir di Kg Seri Gambut dekat Pekan Nanas.

Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata tekanan air sungai yang tinggi memasuki perparitan di kawasan kampung menyebabkan isipadu air dalam parit di kawasan kampung berhampiram bertambah.

Justeru itu kata Yeo, pihaknya dan penduduk kampung mencadangkan pembinaan ‘flipgate’ bagi memperlahan atau menyekat air dari memasuki perparitan kampung, dalam masa sama tidak menghalang air dari kampung ke sungai apabila tekanan lebih rendah berbanding perparitan di kampung.

Advertisement

“Mungkin ini bukan jalan penyelesaian yang terbaik dan ada kemungkinan juga ianya tidak berjaya, namun jika tidak dicuba maka tidak akan tahu bagaimana hasilnya.

“Memang jalan yang terbaik adalah mendalamkan sungai dengan mengeluarkan pasir yang sudah terlalu banyak di dalam sungai.

“Ia telah beberapa kali dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat namun masih belum kelihatan lagi cahaya keluar dari kegelapan ini.

Advertisement

“Oleh itu, walaupun usaha ini sederhana namun diharapkan dapat memberikan impak positif kepada penduduk kampung yang selama ini menanggung beban tak didengari ini,” kata Yeo dalam satu kiriman pada laman Facebook beliau.

Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong memantau penyelenggaraan parit sempadan Ladang Sime Darby Plantation, Kulai yang bersebelahan dengan Kg Melayu Raya

Dalam perkembangan sama, Yeo turut memantau hasil kerja akhir penyelenggaraan parit sempadan Ladang Sime Darby Plantation, Kulai yang bersebelahan dengan Kg Melayu Raya dekat Pekan Nanas, Pontian.

Katanya, meskipun terpaksa meredah semak samun dan berselipar untuk sampai ke lokasi, perkara itu katanya perlu dilakukan bagi memastikan hasil kerja yang dilakukan berada pada tahap paling maksima.

Advertisement

“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Ini satu kepuasan bagi saya.

“Dah jadi kebiasaan pakai selipar sebab selalunya lebih mudah ziarah penduduk. Semoga semua usaha ini berbaloi bagi penduduk disini,” katanya lagi.

Johorkini

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top