BM | EN | 中文

Isu baikpulih utiliti, kemudahan awam terus diperjuang – Ahli Parlimen Kluang

Isu-baikpulih-utiliti-kemudahan-awam-di-Kluang-terus-diperjuang-Ahli-Parlimen.jpg

KLUANG, 16 OGOS: Isu sekitar baikpulih utiliti dan kemudahan awam di daerah ini akan terus diperjuang dan diajukan kepada pihak berwajib, kata ahli parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Ahli parlimen Kluang, Wong Shu Qi

Katanya, meskipun Pakatan Harapan (PH) hanya sempat memimpin negara dan negeri Johor untuk tempoh dua tahun, pejabat ahli parlimen Kluang sentiasa meletakkan kepentingan warga daerah ini khususnya dalam usaha baikpulih dan selenggara utiliti awam.

“Tidak dinafikan keadaan politik kini agak huru-hara, namun kami sentiasa berusaha untuk menjalankan tanggungjawab kami demi kesejahteraan dan kebahagiaan warga Kluang.

“Visi kami bukan sahaja untuk mereformasikan pentadbiran negara, tetapi kami juga percaya bahawa kami akan berjaya hanya jika fokus dan tumpuan kepada setiap perkara walaupun ia kecil,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara kerja baikpulih yang dibangkitkan pejabat ahli parlimen Kluang ialah pelebaran Jalan Sekolah di Kampung Sri Lalang dan projek naiktaraf longkang di Kampung Baru Sri Lalang.

“Pasukan kami telah pun berbincang dan mencadangkan beberapa kaedah naikantaraf dengan pihak MPK untuk menyelesaikan kedua-dua masalah tersebut.

“Pihak MPK telah meluluskan kedua-dua projek tersebut demi kebajikan dan kebahagiaan warga Kluang terutamanya penduduk kawasan setempat Kampung Baru Sri Lalang,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya juga telah membuat lawatan ke Taman Bertuah Satu dan mendapati bahawa taman perumahan itu juga menghadapi masalah utiliti seperti longkang pecah.

“Kami terus berbincang dengan MPK dan memohon kerja menaiktaraf dari jabatan MARRIS. Kerja penukaran longkang yang lama sedang dijalankan dan segala kerja dijangka siap pada bulan depan,” katanya.

Antara isu utiliti dibangkitkan MP Kluang, termasuk baikpulih dan bina semula longkang di taman perumahan dan kampung di daerah ini

Tambah Shu QI, sepanjang dua tahun mewakili kawasan Kluang banyak lawatan ke taman perumahan dan kampung di daerah ini

“Mungkin bagi segelintir orang, kerja penaiktarafan longkang bukanlah sesuatu yang perlu diambil berat namun sebenarnya amat penting untuk menambah baik sistem pengaliran.

“Imej sesebuah bandar adalah sangat penting kerana ia bukan sahaja tempat adanya rakyat malah ia juga akan menjadi kenangan manis untuk pelancong yang melancong ke bandar tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Shu Qi turut meminta kerjasama orang ramai di daerah ini untuk memaklumkan kepadanya sekiranya tahu punca bau busuk yang mengganggu penduduk di Taman Sri Kluang, Taman Intan, Taman Kluang Barat, Taman Delima dan Taman Desa.

Katanya, pejabat ahli parlimen Kluang menerima aduan daripada penduduk semenjak minggu lalu, mengenai bau busuk dan dikatakan lebih teruk terutamanya pada waktu malam.

“Walaupun pasukan kami telah banyak kali menjalankan siasatan dengan pihak berkuasa di lokasi-lokasi tertentu bagi mencari punca bau ini, usaha kami masih lagi tiada hasil kerana tiada klu utama.

“Kami menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kes ini untuk menghubungi kami melalui laman Facebook,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top