BM | EN | 中文

Isu Azam Baki: Suruhanjaya Sekuriti jangan jadi ‘harimau tak bertaring’

Lim-Guan-Eng.jpg

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Ahli parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, sekiranya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) gagal bertindak terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, mengikut Seksyen 25(4) SICDA, badan itu kini menjadi seperti harimau tidak bertaring dan tidak berguna lagi.

Kata Guan Eng, SC dilihat tidak dapat memastikan sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM itu melanggar Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Katanya kegagalan itu bercanggah dengan tugas undang-undang suruhanjaya itu sebagai badan berkanun yang dibiayai sendiri, yang diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia khususnya membuat peraturan dan menguatkuasakan peraturan berkaitan dengan pasaran modal.

“Bagaimanakah SC boleh gagal melaksanakan kewajipan berkanunnya jika SC tidak dapat mengesahkan bahawa Azam telah melanggar Seksyen 25(4) SICDA sedangkan Azam secara jelas dan terbuka mengakui bahawa dia telah membenarkan adiknya menjalankan dagangan saham secara proksi?

“Seperti setiap pasaran modal maju di dunia, Seksyen 25(4) SICDA telah melarang perdagangan saham secara proksi dengan memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik sebenar atau penama yang diberi kuasa.

“Dalam kenyataan mereka hari ini (semalam), SC tidak mendedahkan sama ada adik Azam mempunyai akaun dagangan saham pada masa yang sama, dan jika ada, terdapat keperluan untuk dagangan saham secara proksi serta sumber dana untuk pembelian itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Guan Eng menambah, Azam merupakan pemegang waran yang penting dalam syarikat tersenarai awam Excel Force MSC Sdn. Bhd. setakat Mac 2016, semasa beliau menjadi ketua Jabatan Siasatan SPRM.

Dalam akaun dagangan sahamnya, ujar Guan Eng, Azam telah membeli berjuta-juta saham dan waran dalam syarikat tersenarai awam dengan nilai melebihi had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti yang boleh dipegang oleh penjawat awam.

Sekiranya SC tidak dapat bertindak ke atas dagangan saham secara proksi tambah beliau, maka ia perlu menjelaskan tindakan yang diambil terhadap sekurang-kurangnya tiga individu yang didakwa dan dihukum di bawah Seksyen 25(4) SICDA dengan denda jutaan ringgit pada masa lalu.

“Malangnya, kesan kepada pasaran modal Malaysia bukan setakat kehilangan keyakinan pelabur tetapi juga meletakkan SC serta penubuhannya dalam kedudukan yang meragukan, sama ada SC mampu melaksanakan tugas undang-undangnya tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Ini secara jelas adalah satu amalan antara dua darjat.

“Adakah SC akan mengembalikan denda yang telah mereka bayar dan memohon maaf kerana mendakwa mereka?” soal Setiausaha Agung DAP itu lagi.

Johorkini

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top