BATU PAHAT, 6 JUN: Selama ini parti Pas hanya bersandiwara dalam isu penggunaan arak dan pemandu mabuk, dan ia hanya bagi mengaburi mata umat Islam di Malaysia.

Abdul Hamid Jamah
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Abdul Hamid Jamah berkata parti Pas seolah-olah hilang arah selepas menjadi sebahagian dari kerajaan kerana dengan tiba-tiba membisu dalam isu yang selama ini lantang diperjuangkan.
“Kenyataan ‘flip-flop’ pemimpin Pas cukup jelas. Selama ini rakyat tertipu dengan permainan parti itu. Mana suara Pas dalam isu pemandu mabuk dan penjualan arak?
“Mereka mempergunakan perkara itu untuk menagih perhatian. Sekiranya benar Pas mahu membawa suara berkenaan segerakanlah usaha tersebut, usah berdalih lagi,” kata Hamid ketika dihubungi.
Tambah beliau, selepas mendapat kuasa ternyata hujah Pas selama ini hanyalah untuk meraih simpati umat Islam.
“Kita akui memang ramai khususnya umat Islam terkesima dengan perjuangan dan termakan dengan ‘umpan’ Pas selama ini.
“Kini umat Islam mula sedar yang mereka telah tertipu dengan mainan politik demi kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau turut membidas kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung parti itu Datuk Takiyuddin Hassan yang membenarkan penjualan arak sekiranya ia dikawal.
“Sebelum ini Pas bermati-matian mahu mengharamkan penjualan arak di negara ini. Namun kini kenyataan itu berubah mengikut ‘fatwa’ mereka yang baharu.
“Apa yang patut dilakukan Pas adalah dengan menghentikan sandiwara mempergunakan agama sebagai penyelamat dalam ‘survival’ politik mereka,” katanya lagi.
Johorkini