BM | EN | 中文

ISTAF RANGKA PELAN BAWA SEPAK TAKRAW KE OLIMPIK

sepak-takraw.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 SEPT: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) telah merangka pelan khusus bagi membawa sukan yang berakar umbi di Asia Tenggara itu, ke temasya sukan paling berprestij iaitu Sukan Olimpik.

Dua aspek penting yang dirangka badan tersebut ialah meningkatkan bilangan negara anggota ISTAF sendiri dengan menyasarkan negara-negara Eropah dan Afika Selatan, serta usaha untuk mempamerkan sepak takraw dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022, selain dari menganjurkan kejohanan dalam kalangan negara Komanwel.

Menurut agensi berita nasional Bernama, Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, badan pentadbir dunia itu telah bekerja keras sejak tiga tahun lepas untuk membawa sepak takraw ke dalam acara sukan terbesar dunia tersebut.

Advertisement

Malah, hasil kerja keras ISTAF, sukan sepak takraw juga berjaya tersenarai dalam Olympic Channel baru-baru ini, yang menyediakan platform lebih besar untuk mempromosikan sukan dan atlet di seluruh dunia sepanjang tahun.

Menurutnya lagi, ISTAF kini perlu meningkatkan bilangan ahli gabungannya dan populariti sukan itu di seluruh dunia bagi meyakinkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kerana pada masa ini hanya 45 negara yang bermain sepak takraw.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya 50 negara (ahli gabungan) untuk diiktiraf sebagai satu sukan oleh IOC. Tetapi untuk layak dipertandingkan dalam Olimpik, kami memerlukan 75 negara yang bermain di lima benua.

Advertisement

“Dalam mesyuarat Majlis di Bangkok baru-baru ini, kami telah membangun dan menerima pembentukan persekutuan di Afghanistan, Iraq, New Zealand, Tajikistan dan Kyrgyzstan. Saya optimistik untuk mendapatkan 10 lagi ahli gabungan baharu dalam masa 24 bulan melalui skim penyesuaian yang dicadangkan.

“Kami telah membentuk pasukan petugas terdiri daripada pemimpin dari pelbagai negara untuk mencari 10 negara baharu di Eropah dan Afrika Selatan sebagai ahli gabungan kita. Setiap ahli, sebagai contoh Malaysia, boleh mengguna pakai dua atau tiga negara untuk mempromosi dan membangun sukan sepak takraw di negara baharu,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Abdul Halim turut menambah yang beliau telah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) David Grevemberg dan Pengarah Sukan CGF Ann-Louise Morgan untuk mempamerkan sepak takraw sebagai sukan yang diiktiraf di Birmingham 2022.

Advertisement

Sementara itu, Abdul Halim berkata kira-kira 12 negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan negara-negara Komanwel yang dijadualkan pada awal tahun hadapan.

“Kami menerima maklum balas positif dari Singapura dan India untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu, ia akan dianjurkan bertujuan untuk diiktiraf oleh CGF. Bagi tujuan itu (diiktiraf dan dimasukkan ke dalam Sukan Komanwel), kami perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan CGF dan kini, kami dalam proses mendapat pengiktirafan.

“Saya yakin jika Persekutuan Antarabangsa berfungsi dengan baik, fokus untuk mencapai matlamat, kita boleh bawa sepak takraw ke Olimpik. IOC pasti akan pertimbangkan berdasarkan kriteria dan pemprosesan… Ketelusan dan mengikut tadbir urus akan menjadi kriteria utama untuk diiktiraf,” tambahnya lagi.

Advertisement

Sumber: Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top