BM | EN | 中文

Ismail Sabri punyai peluang terakhir selamatkan reputasinya kalau…

lim-kit-siang.jpg

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mendapatkan persetujuan kabinet untuk menamatkan perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, langkah itu perlu jika orang nombor satu SPRM tidak bersedia hadir memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menjawab persoalan mengenai konflik kepentingan yang membabitkan dirinya.

Tambah Kit Siang, Ismail juga perlu meminta kabinet untuk memutuskan sama ada untuk mengadakan sidang Parlimen Khas pada 21 Januari untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap program pencegahan rasuah kerajaan dan menerima, membahaskan dan memutuskan laporan PSC mengenai skandal Azam.

“Ismail Sabri mempunyai peluang terakhir untuk menyelamatkan reputasinya sebagai Perdana Menteri daripada terus mereput menjadi sebuah kakistokrasi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut veteran DAP itu, kabinet harus memutuskan untuk mengadakan sidang khas Parlimen selama dua hari iaitu pada 20 Januari mengenai bencana banjir dan pada 21 Januari mengenai skandal membabitkan Azam, dua isu utama yang memulakan Tahun Baru 2022 dengan persoalan sama ada Malaysia telah merosot menjadi kakistokrasi.

Tambahnya, Kabinet perlu membuat keputusan selanjutnya bahawa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM akan dipertimbangkan dan dinilai oleh PSC mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri secara dwipartisan selaras dengan keputusan Kabinet pada 13 Ogos 2018 dan 31 Julai 2019.

“Malaysia mengalami dua masalah – menjadi ‘kleptokrasi paling teruk’ di dunia akibat skandal 1MDB dengan penjenayah yang disabitkan kesalahan rasuah dijemput untuk merasmikan persidangan antarabangsa.

“Usahlah kita menanggung derita yang ketiga di mana ketua SPRM hilang semua keyakinan orang ramai terhadap integriti dan kejujuran,” katanya.

Beliau berkata, amat menyedihkan dan tragis bahawa daripada mengukuhkan sistem integriti nasional di Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah menjerumuskan negara ke dalam krisis keyakinan terburuk terhadap agensi pencegah rasuah dalam sejarah negara.

Terdahulu, Kit Siang dilaporkan Roketkini berkata isu tersebut turut “disumbangkan” oleh Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang tidak menyedari kuasa dan tanggungjawab berkanun mereka.

Manakala Pengerusi LPPR secara sepihak bercakap bagi pihak enam ahli LPPR yang lain sedangkan beliau hanya menyatakan pendapat peribadinya.

Jelasnya, ia juga merangkumi kenyataan bersama tiga timbalan pesuruhjaya SPRM yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada Azam dan menolak dakwaan konflik kepentingan sebagai “politik membalas dendam” untuk menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

Ujar Kit Siang lagi, persoalannya adalah sama ada Perdana Menteri dan Kabinet boleh menyelamatkan integriti dan kredibiliti mereka untuk menunjukkan bahawa mereka tidak akan membiarkan Malaysia terjerumus menjadi kakistokrasi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top