BM | EN | 中文

ISLAM TERUS TERPELIHARA DI JOHOR

aminolhuda-hassan.jpeg

PONTIAN, 28 OKT: Pimpinan Pakatan Harapan (PH) bermuafakat mendukung kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata, di bawah kerajaan PH Johor, agama Islam tetap terpelihara.

Beliau menafikan dakwaan ada campur tangan pihak tertentu yang ingin melihat pembangunan Islam di negeri ini tidak berjalan dengan baik.

“Kita tidak pernah membelakangkan agama Islam di negeri ini malah terdapat banyak pembangunan yang dibuat seperti perancangan kerajaan untuk mengiktiraf sijil darjah khas sebagai kelayakkan tertinggi dari segi akademik.

“Kerajaan sebelum ini di bawah pemerintahan BN tidak pernah memikirkan nasib guru Kafa dan gred gaji mereka.

“Tetapi kami sebagai kerajaan yang baharu memerintah telah memikirkan perkara itu.

“Dalam kenyataan kerajaan pusat baru-baru ini mereka telah menambah elaun guru Kafa sebanyak RM100 kepada setiap dari kalangan mereka.

“Kerajaan Johor pula hari ini akan memperuntukkan untuk menambah elaun guru Kafa dengan sebanyak RM 500 lagi kepada sebahagian guru-guru yang mengajar di negeri ini.

“Ini adalah komitmen kami kepada mereka,” ujarnya ketika ditemui di Peneroka, Pontian Johor.

Terdahulu, hanya sebahagian guru Kafa menerima elaun tambahan RM500, namun baru-baru ini kerajaan negeri meluluskan peruntukan lebih RM1.6 juta bagi bayaran elaun kepada baki 240 guru Kafa.

Aminolhuda menegaskan, pembangunan Islam di Johor dilakukan tanpa meminggikran adat mahu pun keharmonian yang telah berjalan selama ini.

“Kerajaan negeri tidak pernah memikirkan untuk menyisihkan sebarang perkara-perkara atau adat yang selama ini berjalan di negeri ini, malah kita menghormati segala perkara yang telah berjalan selama ini.

“Segala tuduhan yang menyatakan kami mahu menyisihkan agama Islam adalah berniat jahat yang mahu memburukkan kerajaan PH di Johor.

“Dalam masa sama, keharmonian dan perpaduan tetap dijaga, malah usaha kami untuk menjalinkan silaturrahim antara sesama kita diteruskan tanpa menghiraukan suara-suara yang ingin memburukkan kerajaan,” ujarnya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top