BM | EN | 中文

Ireka sedia bantu tangani cabaran pengangkutan di bandar

ireka.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Ireka Corporation Bhd sedang mencipta kemajuan dalam usahanya untuk menangani cabaran pengangkutan di bandar-bandar negara ini melalui projek perintis Transit Aliran Massa Automatik (ART) di Iskandar Malaysia, Johor.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Chan Chee Kian berkata projek itu sedang dijalankan oleh Mobilus Sdn Bhd, sebuah usaha sama yang diperbadankan pada Ogos tahun lepas membabitkan Ireka dan CRRC Urban Traffic Co Ltd, anggota CRRC Group yang berpangkalan di Shanghai, China.

“Projek perintis ART yang pertama akan dilaksanakan antara Disember 2020 dan Februari 2021. Kami percaya selepas berjaya menyiapkan projek ini, ART (teknologi trem elektrik) boleh diguna pakai sebagai sistem pengangkutan bandar yang baharu bagi meningkatkan persekitaran pengangkutan awam di Iskandar Malaysia.

Advertisement

“Kami juga berpendapat sudah tiba masanya untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam di bandar-bandar dan kota-kota yang lebih kecil, bagi menangani kesesakan trafik yang tinggi dalam rangkaian jalan raya yang sesak,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini semalam.

Chan, yang juga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Mobilus berkata Mobilus juga menyokong usaha kerajaan Sarawak dan agensinya dalam menilai daya maju ART untuk Sistem Pengangkutan Bandar Kuching.

Ireka, yang turut terlibat dalam pembinaan dan pembangunan hartanah, juga membina rekod prestasinya dalam pembangunan hospital, terutama bagi penyedia penjagaan kesihatan swasta.

Advertisement

Syarikat itu telah memenangi projek Hospital Pakar Regency di Johor dan merancang untuk menender lebih banyak projek jika berpeluang.

“Selain itu, kami juga melihat lonjakan jualan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberangsangkan dalam pembangunan segmen pasaran pertengahan Dwi@Rimbun Kasia di Nilai, Negeri Sembilan, yang berkemungkinan disebabkan oleh pakej jualan agresif kami dan persekitaran kadar faedah yang rendah.

“Kami juga sedang merancang fasa Rimbun Kasia yang seterusnya, termasuk pembangunan vila rumah bandar yang inovatif yang dipanggil Temu,” kata Chan.

Advertisement

Menurut Laporan Tahunan Ireka 2020, pelancaran jualan untuk Temu disasarkan pada separuh pertama 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan Ireka, Datuk Lai Voon Hon ketika bercakap mengenai prospek memberitahu beliau optimis bahawa sektor pembinaan akan terus pulih dengan lebih progresif menjelang pertengahan tahun depan.

“Kami berpendapat keadaan tidak akan menjadi lebih buruk daripada semasa tempoh PKP. Kami berharap kebanyakan projek pembinaan, terutamanya yang bersifat mega, akan disambung semula kerana sektor pembinaan mempunyai kesan pengganda terbesar kepada ekonomi, bermula daripada aktiviti perbankan kepada saham dan pekerjaan,” katanya lagi.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top