JOHOR BAHRU, 16 OKT: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yakin dapat mencapai sasaran pelaburan berjumlah RM383 bilion menjelang 2025, selepas mencatatkan pelaburan kira-kira 87 peratus atau RM332 bilion setakat Jun 2020, meskipun berdepan dengan krisis pandemik COVID-19.
Pengarah Ekonomi dan Kemakmurannya, Engku Ahmad Kamel Engku Taib, berkata dengan pelaburan kira-kira RM50 bilion lagi dalam tempoh lima tahun akan datang, sasaran itu dijangka dapat dicapai.
“Saya jangka akan ada cabaran, bergantung kepada selama mana krisis pandemik COVID-19 ini akan berlarutan, tetapi pada masa yang sama, saya percaya lambat laun orang akan perlu terus melabur dalam bahagian utama tertentu.
“Dalam tempoh sukar, sering akan ada peluang baharu yang akan muncul,” katanya semasa webinar yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bertajuk “Siri Labur MIDA: Membuka Potensi Perniagaan Negeri-Negeri, taklimat oleh Kerajaan Negeri Johor” di sini, semalam.
Engku Ahmad Kamel berkata IRDA menerima banyak pertanyaan terutamanya dari negara-negara Barat untuk mahu memindahkan asas pembuatan mereka berikutan masalah yang dihadapi akibat daripada pertelagahan perdagangan Amerika Syarikat-China.
Walaupun syarikat-syarikat tidak akan keluar dari China disebabkan penggunaan pasaran domestik yang besar di negara itu, namun terdapat keperluan bagi mereka untuk memindahkan beberapa kemudahan, untuk mengatur rantaian bekalan mereka secara serantau, terutamanya di Amerika Syarikat.
Beliau berkata Johor yang terletak berdekatan dengan Singapura mempunyai kelebihan kerana banyak pengeluar, termasuk dari republik itu, memilih negeri tersebut sebagai aas pembuatan mereka kerana produk yang dikeluarkan mudah untuk diangkut menerusi laluan tambak.
“Seperti yang kita tahu, Singapura memeterai lebih banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA) berbanding kita yang memberikan banyak kelebihan kepada mereka manakala kerajaan kita terus berunding dan membangunkan FTA,” katanya.
Menurutnya, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, cadangan FTA di rantau Asia Pasifik antara 10 negara anggota ASEAN dengan lima rakan FTA mereka – Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan – akan membuka banyak peluang bagi Malaysia.
Mengenai pencapaian pelaburan Iskandar Malaysia setakat ini, beliau berkata 58 peratus adalah daripada domestik dengan 34 peratus jumlah pelaburan dalam sektor seperti pembuatan (79.61 peratus) dan sektor perkhidmatan lain, antaranya logistik, pelancongan dan penjagaan kesihatan.
Beliau berkata, setakat Jun tahun ini, wilayah itu menerima pelaburan kira-kira RM16 billon.
Engku Ahmad Kamel berkata pandemik itu telah menjejaskan banyak sektor di Iskandar Malaysia, antaranya, pelancongan, penjagaan kesihatan, industri kreatif dan pendidikan dengan semuanya melibatkan pergerakan orang ramai.
Oleh itu, katanya, situasi ini memerlukan campur tangan kerajaan untuk meningkatkan mobiliti pengunjung, pelabur dan pekerja berpengetahuan terutamanya dari negara-negara selamat, seperti yang dilakukan beberapa negara jiran bagi membantu memulihkan ekonomi mereka.
Bernama