JOHOR BAHRU, 15 FEB: Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak kira-kira RM31.5 billion melalui yuran pengajian dan kos sara hidup.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, jumlah tersebut adalah bagi tahun 2018, selain sebanyak RM11.3 billion lagi diperolehi melalui pengambilan pelajar antarabangsa.
Justeru itu katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghargai peranan dan sumbangan IPTS dalam membantu menjana ekonomi negara melalui penyediaan pendidikan tinggi berkualiti bagi menggalakkan kemasukan pelajar antarabangsa.
“Demi memastikan IPTS terus berdaya maju, pembangunan dokumen ‘Way Forward for PHEIs: Education as an Industry (2020-2025)’ telah dirangka sebagai sumber rujukan utama bagi IPTS dalam menentukan hala tuju menjelang tahun 2025,” katanya.
Terdahulu, beliau turut melancarkan program Way Forward for PHEIs sempena Program Jom Masuk IPT (JMIPT) Zon Johor 2020 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, disini hari ini.
Antara agenda utama yang diberi penekanan dalam program tersebut adalah kecekapan tadbir urus, kemampanan institusi, penyampaian perkhidmatan, inovasi dan kecemerlangan pengajaran dan pengantarabangsaan.
Ahli Parlimen Kulai itu turut berkata, seiring matlamat memperkasakan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET), kerajaan telah merangka beberapa langkah bagi meningkatkan akses pendidikan vokasional.
“Kerajaan telah memperkenalkan pelaksanaan Sistem Jaminan Kualiti Tunggal TVET: Penambahbaikan Laluan Pendidikan Graduan TVET Bagi Menyokong Aspirasi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).
“KPM dan semua kementerian penyedia TVET akan memberi penekanan terhadap pelaksanaan Peta Strategi Pemerkasaan TVET.
“Ini bagi menjamin graduan TVET yang dilahirkan mempunyai kemahiran tinggi, seimbang, holistik dan berciri keusahawanan. Kita semua perlu memastikan yang Wawasan IndustryLed TVET akan dapat dicapai,” katanya lanjut.
Johorkini