BM | EN | 中文

INSTITUSI KELUARGA PERLU DIPERKUKUHKAN

IMG-20191110-WA0033.jpg

Oleh: Siti Nursyahidah Abu Bakar

PONTIAN, 10 NOV : Institusi dan hubungan kekeluargaan perlu diperkukuhkan dalam usaha mengimbangi perkembangan pesat ekonomi dan sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, ini penting kerana keluarga adalah unit sosial asas yang menyediakan dan membekalkan sumber modal insan untuk mengimbangi pembangunan negara.

“Keluarga yang sejahtera adalah keluarga yang harmoni, mampu berfungsi dengan baik dan dapat memenuhi keperluan hidup ahlinya.

“Sebuah keluarga sejahtera juga merupakan keluarga yang mempunyai hubungan keluarga yang baik, situasi ekonomi yang stabil, sihat, persekitaran yang selamat serta mempunyai keteguhan agama.

“Peranan sebuah keluarga sangat besar dalam pembentukan kualiti hidup ahlinya. Oleh itu, jika sesebuah keluarga itu bermasalah pasti masyarakat akan terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Karnival Keluarga Hooraa Hooree 2019 anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) di Taman Emas Merah Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Katanya, Karnival Hooraa Hooree yang berlangsung hari ini sangat penting dalam usaha pembentukan sebuah keluarga bahagia.

Cai Tung turut menyertai konvoi motosikal bagi menyantuni penduduk setempat.

“Program ini juga diharapkan dapat menyedarkan masyarakat supaya sentiasa berusaha untuk mengimbangi antara keperluan material dan pembangunan sahsiah agar nilai-nilai murni dalam kekeluargaan dapat dipelihara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan setiap pembangunan di negeri ini tidak bersifat pembangunan fizikal semata-mata.

“Pembangunan modal insan turut menjadi keutamaan. Ini dapat diterjemahkan dalam pengagihan bajet negeri di mana kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.42 juta kepada YPDKT bagi pelaksanaan program-program pengukuhan modal insan.

“Program-program ini memberi manfaat kepada golongan sasar seperti ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU), remaja, wanita berpendapatan rendah, penjawat awam dan ramai lagi.

“Malah, saya yakin untuk Belanjawan 2020, kerajaan negeri akan terus mempastikan pembangunan dan pengukuhan modal insan diberi perhatian dan keutamaan,” katanya.

Antara program tersebut ialah Bantuan Peralatan kepada ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah; penubuhan bilik penyusuan Mama Friendly; pembangunan Pusat Jayadiri; program Permata diriku Berharga (DERMAGA); program Pembangunan Sahsiah, Emosi dan Eksplorasi (Proseed) dan program Transformasi Minda Insan (Pro-Mis).

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top