BM | EN | 中文

Insiden rusuh Parit Raja: 20 individu ditahan setakat ini

parit-raja-kerajaan-gagal.png
Advertisement

BATU PAHAT, 14 MEI: Seramai 20 individu telah ditahan polis setakat ini kerana dipercayai terbabit dalam kejadian merusuh di Parit Raja, Batu Pahat, yang tular dalam laman sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kesemua lelaki yang ditahan merupakan penduduk setempat, berumur 16 hingga 28 tahun.

“Berdasarkan semakan semuanya tiada rekod jenayah dan kini ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Mei,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Advertisement

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira 2 pagi semalam di persimpangan Pekan Parit Raja di Kilometer 22.5 Jalan Batu Pahat-Kluang.

“Kumpulan tersebut yang dianggarkan seramai 40 orang telah membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta kepada pengguna kenderaan yang melalui jalan berkenaan selama 15 minit bagi menarik perhatian mereka, selain merentang kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ serta membakar suar dan mercun.

“Kain rentang yang sama juga telah dibawa dan digantung di jejantas di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Nan sejurus selepas kejadian,” katanya.

Advertisement

Ismail turut memberitahu siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 144, 269 dan 505 (b) Kanun Keseksaan; Seksyen 8 Akta Bahan Letupan; Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.

Malam tadi, polis memberitahu sudah menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun untuk membantu siasatan, setelah mendapat makluman daripada orang awam mengenai penemuan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ di sebuah jejantas semalam, selain sebuah video menunjukkan perhimpunan, pembakaran suar dan kejadian menaikkan kain rentang tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top