BM | EN | 中文

Insiden Myvi lari sebabkan anggota polis maut, empat ditahan di Kulai dan Johor Bahru

Ayob-Khan-Ketua-Polis-Johor-Kemalangan-maut-babit-anggota-polis-empat-ditahan-di-Kulai-dan-Johor-Bahru.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 2 NOV: Polis menahan seorang wanita dan tiga lelaki di Kulai serta bandar raya ini, yang dipercayai terlibat dengan kenderaan yang menyebabkan kemalangan pada awal pagi semalam sehingga seorang anggota polis terbunuh.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua rakyat tempatan berumur antara 23 dan 27 tahun itu ditahan dalam serbuan di Kampung Melayu Seelong dan Senai, Kulai serta di Kampung Melayu Pandan di sini, antara pukul 2.00 petang dan 9.00 malam tadi.

“Tangkapan pertama dilakukan terhadap wanita yang berumur 27 tahun di Kampung Melayu Seelong dan hasil soal siasat, polis kemudian berjaya menahan tiga lelaki berkenaan di Senai dan Kampung Melayu Pandan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Advertisement

Dalam kejadian pada pukul 5.00 pagi itu, kereta Perodua Myvi dinaiki tiga lelaki telah melarikan diri daripada ditahan sehingga memaksa dua anggota Unit Kenderaan Peronda (MPV) dari Balai Polis Bandar Dato’ Onn mengejar mereka, sebelum kenderaan polis itu terbalik akibat berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Aruz.

Kejadian itu mengakibatkan Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, yang berasal dari Sibu, Sarawak, maut selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala, manakala Lans Koperal Mohammad Fadhirul, 32, mengalami kecederaan parah.

Ayob Khan berkata hasil siasatan mendapati wanita berkenaan tidak terlibat secara langsung dalam kejadian kerana hanya menjadi penyewa Perodua Myvi itu daripada sebuah syarikat penyewa kenderaan, sebelum meminjamkan ia kepada teman lelakinya.

Advertisement

Beliau berkata hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dengan dua daripadanya turut memiliki rekod berkaitan kesalahan dadah.

Katanya kesemua mereka kini direman empat hari bermula hari ini hingga 5 Nov ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu di SARAWAK, jenazah mendiang Nicholester terpaksa dibawa ke kediaman keluarganya di Sibu Jaya, Sibu, malam ini menggunakan jalan darat, selepas perancangan awal untuk membawanya dari Kuching menggunakan pesawat udara dibatalkan berikutan cuaca buruk.

Advertisement

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata jenazah terpaksa dibawa menggunakan jalan darat yang dijangka mengambil masa kira-kira enam jam untuk sampai di Sibu selepas penerbangan oleh pesawat Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis dibatalkan.

“Van jenazah PDRM digunakan untuk penghantaran ini, dan perjalanan turut disertai oleh kakak dan saudara mendiang, yang mengiringi jenazah itu sejak penerbangan dari Johor Bahru lagi,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga mendiang di kediaman mereka.

Menurutnya majlis pengebumian akan diadakan di tanah perkuburan Nirvana Memorial Park, di Kilometer 32, Jalan Oya, Sibu, Khamis ini dalam upacara penuh penghormatan polis.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top