JOHOR BAHRU, 25 OGOS: Polis menafikan dakwaan insiden pergaduhan di sebuah kafe di Forest City, dekat Gelang Patah, Ahad lepas, yang tular di laman sosial adalah pergaduhan antara kaum.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian itu dipercayai berpunca ekoran perselisihan faham dan menasihati orang ramai agar tidak menularkan khabar angin yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Kejadian pada kira-kira 8 malam tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara 10 lelaki yang sedang mengadakan majlis hari jadi dengan lima lelaki lain di meja bersebelahan.
“Dipercayai salah seorang daripada 10 lelaki itu telah terlanggar meja lima lelaki berkenaan, yang mencetuskan pergaduhan mulut sehingga mengakibatkan kejadian membaling kerusi dan meja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata kejadian berkenaan pertama kali berlaku di premis itu dan tiada individu mengalami kecederaan serius.
Katanya polis telah menahan empat lelaki berusia antara 19 dan 24 tahun di sekitar bandar raya ini susulan laporan yang dibuat pemilik restoran sehari selepas kejadian itu.
Bernama