BM | EN | 中文

Inisiatif kembalikan imej daerah Mersing jadi keutamaan – Pegawai Daerah

mersing-4.jpg

Gambar Ehsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Advertisement

MERSING, 30 DIS; Semua agensi dan pihak berkaitan akan melaksana inisiatif bagi mengembalikan imej daerah Mersing, yang didakwa tercemar dengan isu sampah terutama di lokasi tumpuan pelancong.

Pegawai Daerah Mersing Mohd Radzi Mohd Amin berkata, beliau mengambil maklum dan menjunjung kasih atas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semalam, yang menyuarakan rasa kecewa dengan sikap segelintir rakyat di daerah ini yang mengabaikan soal kebersihan, sehingga tempat-tempat awam dipenuhi sampah sarap.

“Titah Sultan Ibrahim ini mencerminkan keprihatinan baginda terhadap daerah Mersing. Justeru, saya telah mengarahkan setiap jabatan yang terlibat untuk bertindak segera, bagi mengatasi isu ini.

Advertisement

“Walau bagaimanapun, sikap dan kesedaran dalam kalangan masyarakat adalah perlu, bagi menjaga kebersihan dan keindahan daerah ini dengan tidak membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Radzi berkata, sejak dilantik sebagai Pegawai Daerah Mersing pada 22 Nov lepas, beliau telah merencanakan pelbagai rancangan dalam usaha memaksimumkan potensi daerah ini, termasuk memperkenalkan slogan ‘Mersing Kesayangan Kita’ dan ‘Amazing Mersing’.

Dalam kenyataan berasingan, Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing Norazmi Amir Hamzah berkata, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama erat dengan agensi berkaitan termasuk SWM Environment, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Pejabat Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran berhubung pengurusan kebersihan.

Advertisement

“Selain itu, kita turut menggalakkan penglibatan orang ramai bagi menganjurkan sendiri aktiviti pembersihan, saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada pihak luar yang bersama-sama membersih dan mengindahkan kawasan pantai serta pulau di Mersing.

“Kempen tentang larangan penggunaan plastik sekali guna dan polistirena dengan kerjasama peniaga-peniaga setempat juga sedang giat dijalankan,” katanya.

Norazmi berkata pelaksanaan program Pasukan Ekologi dan Alam Sekitar Mersing (PEDAS) dijalankan di bawah gerak kerja ‘Sustainable Travel Mersing Destination Coordination Group’ (STMDCG), bagi memberi kesedaran membabitkan 500 orang pelajar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Advertisement

“Kita ingin meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, agar dipraktikkan menjadi amalan demi kelestarian alam,” katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi baginda bertitah, daerah pelancongan di Mersing bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong dari luar negara, malah ia juga kaya dengan keindahan alam semula jadi.

Baginda yang murka dan kecewa mengenai perkara itu, menegaskan sekiranya rakyat terus mengamalkan tabiat buruk itu, ia akan memberi kesan yang negatif kepada aspek kesihatan awam sekiranya soal kebersihan tidak dititik beratkan.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top