KULAI, 30 APR: Seorang warga emas di Kulai di sini bakal menyambut hari raya dalam suasana ceria setelah rumahnya kini berwajah baharu hasil usaha baik pulih menerusi program sentuhan kasih yang dijalankan oleh DAP Kulai.
Pegawai khas ahli parlimen Kulai, Marina Ibrahim berkata, penghuni rumah tersebut merupakan seorang wanita warga emas berusia 60 tahun yang masih bekerja, namun dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.
Difahamkan warga emas itu tinggal sendirian dan dalam suasana bergelap, selepas rumahnya terbakar kira-kira empat tahun yang lalu.
“Makcik ini dah berusia 60 tahun, masih berkerja dengan gaji RM1000 sebulan. Anak-anak masih ada, cuma masing-masing ada keluarga yang besar dan tidak berkemampuan.
“Makanya sebagai seorang mak, beliau hanya mendiamkan diri dan tidak mahu menyusahkan si anak,” kata Marina dalam catatan di laman facebook beliau.
Susulan itu, atas inisiatif pusat khidmat parlimen Kulai, Marina bersama beberapa sukarelawan dan petugas membantu membersih, mengemas dan mengecat bagi memberikan suasana lebih ceria, lebih-lebih lagi menjelang hari raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Beliau memaklumkan turut menerima sumbangan cat dari dermawan yang mengetahui usaha murni yang dijalankannya bersama rakan-rakan melalui media sosial.
“Rezeki orang bertimpa pula. Terima kasih buat Md Zuraidi Adi… tak kenal siapakah gerangan hamba Allah ini, tapi dia bagi sumbangan cat untuk rumah makcik ni juga. Terima kasih semua,” kata Marina.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan sumbangan berupa peti ais, periuk nasi dan mesin pengisar untuk disumbangkan kepada penghuni rumah berkenaan.
“Alhamdulillah. Terima kasih semua. Bantuan anda semua, kita dapat berikan keceriaan pada yang memerlukan,” kata Marina lagi.
Dalam pada itu, Marina turut memaklumkan program ‘Berikan Senyuman Muhibah Aidilfitri’ akan diadakan bagi menyerahkan sumbangan baju raya kepada mereka yang memerlukan.
“Kami tak manpu sediakan baju baru yang mahal. Tapi ada banyak baju kurung dan baju raya yang masih cantik yang berkualiti untuk dipilih.
“Terima kasih untuk semua yang menyumbang. Insya Allah minggu depan akan beroperasi,” ujarnya lagi.
Johorkini