MUAR, 17 APR: Beberapa agensi kerajaan di daerah ini memuji inisiatif Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Nasional dan AWAN Johor yang membantu menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan (frontliner) di sekitar daerah Muar.
Antara agensi yang merakamkan pujian itu antaranya Pejabat Kesihatan Daerah Muar, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Muar dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar Johor.

Nor Hayati Bachok
Menurut Ketua AWAN Johor Nor Hayati Bachok berkata, sumbangan dari pihaknya telah diagihkan kepada beberapa agensi yang terbabit dalam membantu usaha melawan pandemik Covid-19.
Katanya, sumbangan berbentuk alatan kelengkapan dan keperluan harian antara perkara yang menjadi keutamaan dalam sumbangan yang disampaikan seperti Thermometer infrared, alat pelindung muka (face shield) dan penutup mulut dan hidung (face mask).
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada agensi yang terbabit kerana memberi peluang kepada pihak AWAN untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka.
“Ini sebagai tanda sokongan dari kami untuk memberi semangat kepada mereka yang berada di barisan hadapan dalam berhadapan dengan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ini.
“AWAN juga sentiasa prihatin dengan nasib mereka yang bertungkus lumus bekerja untuk memastikan Covid-19 ini berjaya dihapuskan,” ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua AWAN Nasional berkata kekurangan dari segi kelengkapan ini memang berlaku di agensi-agensi yang terbabit terutamanya beberapa minggu sebelum ini.
Sehubungan dengan itu katanya, dengan faktor berganding bahu dalam menjayakan misi bersama menentang Covid-19 ini amat penting untuk dilaksanakan.
“Semua pihak harus berganding bahu baik dari pihak berkumpulan mahupun persendirian yang mahu menghulurkan bantuan.
“AWAN juga akan mencuba sedaya upaya menjayakan misi meringankan bebanan ini atas faktor keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” kata Adun Maharani itu.
Nor Hayati dalam pada itu turut menyampaikan penghargaan kepada semua penyumbang dan pasukan yang membantu AWAN dalam menjayakan misi bantuan berkenaan.
Johorkini