BM | EN | 中文

Ingkar peraturan: Kerajaan perlu pinda akta untuk naikkan kompaun

ismail-sabri.jpg

Gambar Ehsan Malay Mail

JOHOR BAHRU, 31 OGOS: Kerajaan perlu membuat pindaan terhadap dua akta jika ingin meneruskan cadangan untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan ingkar peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dua akta itu adalah Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) dan Akta 342 itu sendiri.

“Dalam Akta Tafsiran, kompaun di situ adalah tidak lebih daripada RM1,000. Jadi kalau Akta 342 nak dipertingkatkan dari segi jumlah kompaun, ia tidak boleh berbeza dengan Akta Tafsiran.

“Oleh itu, kerajaan perlu membuat pindaan kepada dua akta iaitu Akta Tafsiran serta Akta 342 dan perkara ini perlu dibentangkan dalam Parlimen,” katanya, lapor Bernama.

Terdahulu Ismail menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 350 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Ulu Tiram, di sini, semalam.

Katanya, perkara mengenai kenaikan kompaun ini telah dibangkitkan dalam Kabinet minggu lepas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan telah diminta untuk mengkaji keperluan pindaan.

“Kalau perlu pindaan maka kita akan pinda tetapi ia memerlukan masa yang lama kerana kita kena pinda dua akta ini dan bawa ke Parlimen untuk dibahaskan dan kalau diluluskan, harus digazetkan,” katanya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk menaikkan kadar kompaun ke atas mereka yang ingkar peraturan Akta 342.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, cadangan menaikkan kompaun sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda daripada kadar sekarang itu, perlu diperhalusi dan Akta 342 perlu dipinda terlebih dahulu.

Pada masa kini, Akta 342 memperuntukkan denda maksimum RM1,000 kepada orang ramai yang ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Mengulas isu lain, Ismail menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan perintah berkurung di seluruh Kedah walaupun terdapat beberapa kluster kes COVID-19 yang baharu.

Katanya, ini adalah kerana kerajaan telah mengubah cara untuk menangani kes terbabit.

“Dulu, apabila ada sahaja kes, kita isytihar seluruh negeri, selepas itu kita perkecilkan menjadi daerah, kemudian mukim dan selepas itu kepada lokaliti kawasan yang terlibat saja. Kalau kita buat macam dulu (laksana perintah berkurung di seluruh negeri atau daerah), ia tidak adil kepada kampung-kampung lain yang tiada kena-mengena.

“Jadi kita tak lagi bertindak seperti itu. Kalau ada satu kampung terjejas, kita isytihar satu kampung itu sahaja,” katanya menjawab kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Dr Mohd Hayati sebelum itu dilaporkan berkata kerajaan negeri pernah mencadangkan kepada kerajaan pusat agar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dilaksanakan secara meluas di negeri itu untuk menangani kes COVID-19, namun cadangan itu ditolak kerana terdapat beberapa kekangan antaranya penempatan anggota keselamatan yang terhad serta dana yang besar diperlukan untuk pengurusan dan pengagihan bantuan kepada kawasan terjejas.

Berkenaan isu lain, Ismail Sabri berkata pihaknya sedang berusaha memohon kepada kerajaan untuk memberikan elaun bulanan sara hidup sebanyak RM350 kepada semua veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah dan layak menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM).

“Ini sebagai menunjukkan keprihatinan kita. Kita tahu RM350 itu memang tidak cukup tetapi ia merupakan penghargaan kita kepada mereka,” katanya.

Ketika ini, seramai 29,314 daripada lebih 121,000 veteran ATM yang layak menerima PJM telah pun menerima pingat berkenaan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top