BM | EN | 中文

INFRASTRUKTUR DAN PENGANGKUTAN AWAM DIPERKASA

IMG-20191121-WA0030.jpg
Advertisement

 

ISKANDAR PUTERI, 21 NOV : Sebanyak RM220 juta peruntukan diluluskan untuk pelaksanaan projek jambatan bypass Kota Tinggi dan directional ramp di persimpangan Senai Desaru Expressway (SDE), Bandar Penawar bagi mengatasi masalah banjir dan penyuraian lalu lintas di daerah Kota Tinggi.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, projek berkenaan termasuk dalam agenda ketiga Belanjawan Johor 2020 iaitu infrastruktur dan pengangkutan awam yang diluluskan kerajaan persekutuan.

Advertisement

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyambut baik keprihatinan kerajaan persekutuan bagi mengatasi masalah kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Linkedua melalui peruntukan yang telah diumumkan sebanyak RM85 juta bermula tahun 2020.

“Kerajaan negeri juga menyambut baik dan amat mengalu-alukan pengumuman kerajaan persekutuan untuk meneruskan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura. Kesemua usaha ini bertujuan untuk melancarkan aliran trafik yang seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi di Negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2020) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, di sini hari ini.

Advertisement

Tambahnya, kerajaan negeri berusaha memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan bagi menyelenggara culvert supaya isu pencemaran dan kualiti air di Selat Tebrau dapat diatasi dengan lebih efisien dan efektif.

Dr Sahruddin berkata, menerusi Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030, kerajaan persekutuan berusaha mengoptimumkan penggunaan rel sebagai satu mod pengangkutan yang penting.

Katanya, selaras dengan aspirasi tersebut, kerajaan negeri mencadangkan satu kajian awal dijalankan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan projek keretapi awam dan kargo bagi laluan Pasir Gudang – Kempas – Tanjung Pelepas.

Advertisement

“Bagi kesinambungan projek pembinaan dan menaiktaraf jalan serta jambatan di seluruh negeri Johor, maka pada tahun 2020, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM58 juta.

“Antara senarai projek yang akan dilaksanakan bagi tahun 2020 adalah menaik taraf Jalan Ulu Choh ke Gelang Patah dan seterusnya ke Ulu Pulai di daerah Johor Bahru, membina jalan pintas dari Sungai Terap ke Paya Panjang di daerah Muar dan menaik taraf simpang empat di Benut, daerah Pontian.

“Menaik taraf jalan dan jambatan dari Sawah Ring ke Sungai Mati di daerah Tangkak dan menaik taraf jalan sedia ada dari dua lorong kepada empat lorong di Jalan Masai Lama di daerah Johor Bahru,” katanya.

Advertisement

Tambahnya, melalui peruntukan kerajaan persekutuan di bawah sistem maklumat rekod-rekod jalan raya Malaysia (MARRIS) pada tahun 2020, sebanyak RM700 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan-jalan negeri, jalan-jalan bandaran dan jalan-jalan kampung di seluruh Negeri Johor.

Jelasnya, peruntukan tersebut tidak termasuk bagi penyelenggaraan di kawasan Felda di mana kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kewangan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan Felda dengan menggunakan peruntukan yang dianggarkan sebanyak RM30 juta.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan projek pemasangan lampu jalam Labis ke Muar (J32) iaitu dari Perumahan Rakyat Labis sehingga persimpangan Felda Chempelak Barat, Segamat dengan kos sebanyak RM500,000.

Advertisement

“Rangkaian perhubungan yang baik serta sistem pengangkutan awam yang cekap dan berkesan merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada pembentukan negeri berprestasi tinggi. Sehubungan itu, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Majlis Pengangkutan Johor bagi memperkasa jaringan pengangkutan di negeri ini.

“Bagi mengurangkan kos sara hidup, kerajaan negeri akan memperluaskan perkhidmatan Bas Muafakat Johor dengan menambah 10 laluan baharu. Ia melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM4.3 juta dan kos keseluruhan sebanyak RM29.1 juta pada tahun 2020.

“Bagi Sukma 2020, kerajaan negeri akan memperkenalkan Program ‘Free Ride Bus’ yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2020. Menerusi program ini, ia memberi peluang kepada rakyat tempatan menggunakan perkhidmatan Bas Muafakat Johor ke tempat-tempat menarik di negeri ini, dan ke lokasi-lokasi pertandingan sepanjang temasya SUKMA 2020 berlangsung dengan hanya mempamerkan Kad Pengenalan Malaysia sahaja,” katanya.

Advertisement

Selain itu, kerajaan negeri menerusi PBT memperuntukkan sebanyak RM42 juta bagi menaiktaraf prasarana di seluruh negeri Johor.

Kerajaan negeri juga akan meneruskan pemberian geran keseimbangan PBT sebanyak RM13.7 juta antara tujuannya adalah untuk membantu PBT meningkatkan tahap penyediaan infrastruktur dan prasarana yang memenuhi keperluan masyarakat setempat.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top