JOHOR BAHRU, 15 JAN: Semua masjid dan surau di negeri ini diarah untuk mengadakan solat sunat hajat selepas solat Jumaat bagi memohon agar masalah penularan wabak Influenza A dapat dijauhi.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melalui pengarahnya, Datuk Md Rofiki Shamsudin dalam pekeliling bertarikh 14 Januari memaklumkan, arahan bagi melaksanakan solat sunat hajat tersebut adalah bagi seluruh masjid kerajaan dan kariah di negeri ini.
“Adalah dimaklumkan bahawa berhubung penularan wabak Influenza A, di negeri Johor masjid-masjid kerajaan dan kariah diarah untuk melaksanakan solat sunat hajat sebagaimana ketetapan berikut.
Tarikh: 17 Januari 2020 bersamaan 21 Jamadilawal 1441
Masa: Selepas solat fardu Jumaat
Tempat: Masjid kerajaan dan kariah negeri Johor
“Diantara tujuan solat sunat hajat tersebut adalah untuk memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan, keselamatan, ke’afiatan dan dilindungi dari wabak Influenza A kepada seluruh rakyat di negeri Johor Darul Ta’zim,” kenyataan tersebut dipetik.
Minggu ini dilaporkan seramai 89 orang murid di negeri ini disyaki dijangkiti wabak tersebut membabitkan enam daerah dari prasekolah sehingga pelajar tingkatan empat.
Johorkini