JOHOR BAHRU, 27 APR: Pihak industri, pengusaha pertanian dan orang awam di negeri Johor dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka dan dalam masa sama terus menjaga alam sekitar dari ancaman dan pencemaran.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, tindakan kompaun di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh dikenakan kepada sesiapa yang melakukan aktiviti tersebut.
“Selain itu juga, pesanan kepada pihak industri yang telah mendapat kelulusan MITI untuk beroperasi semasa tempoh PKP ini diingatkan supaya sentiasa mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Sebarang ketidakpatuhan yang dilakukan boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta yang sama,” kata Vidyananthan dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pembakaran terbuka adalah dilarang, termasuklah pembakaran sampah-sarap di sekeliling rumah dan kawasan kediaman.
“Ia akan mencemarkan alam sekitar dan menganggu kesejahteraan jiran terutama semasa tempoh PKP ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu beliau memaklumkan purata peratusan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Negeri Johor pada 26 April 2020 adalah kekal 97 peratus, iaitu sama dengan hari semalam.
Johorkini