BM | EN | 中文

Industri bas awam di Johor kurang pemandu

Larkin-Sentral-4.jpg

Gambar Ehsan damansaraassets.com

KLUANG, 17 JAN: Industri pengangkutan bas awam di negeri ini bakal terjejas jika 1,000 kekosongan jawatan sebagai pemandu tidak diisi dengan segera.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Negeri Johor, Datuk Suchdav Jotisroop berkata, pihaknya sudah berusaha merekrut pemandu baru, namun tawaran gaji tidak kompetitif tidak berpihak kepada mereka.

Menurut beliau, pihaknya hanya mampu menawarkan sekitar RM2,500 hingga RM3,000 sebulan untuk jawatan itu berbanding pesaing syarikat penghantaran yang mencecah hingga RM6,000 sebulan.

“Sebagai pengusaha bas awam kami tidak dapat menaikkan gaji mereka sesuka hati dengan menaikkan harga tiket kerana ia dikawal kerajaan.

“Sebelum ini kami sudah cukup terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga ada yang gulung tikar.

“Apabila dapat beroperasi semula, kami macam tidak cukup nafas kerana banyak permintaan tetapi terpaksa ditolak,” katanya, lapor Utusan Online.

Pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Kenderaan S&S Sdn Bhd dan S&S International Express berkata, sebelum penularan Covid-19, terdapat lebih 4,000 pemandu memandu bas antara bandar, jarak jauh, pelancong dan kilang di Johor.

Katanya, kini hanya 1,000 pemandu yang masih bekerja dengan syarikat bas ekspres dan henti-henti di negeri ini.

“Pemandu yang berminat pula kami terpaksa tapis kerana kebanyakan berusia lebih 65 tahun yang tidak dapat dilindungi insurans.

“Ada pula pemandu senior yang tidak diambil bekerja kerana bermasalah termasuk mempunyai banyak tunggakan saman.

“Kami memerlukan pemandu tambahan kerana pemandu yang ada juga perlukan rehat mencukupi dan tidak boleh terus menerus untuk bertugas,” katanya.

Katanya, pengusaha bas merayu campur tangan kerajaan bagi menyelesaikan kemelut itu termasuk menggunakan Dana Pembangunan Sumber Manusia untuk membantu melatih pemandu bas muda.

“Kerajaan boleh menggalakkan penganggur atau graduan yang belum mendapat pekerjaan untuk menyertai kerjaya sebagai pemandu bas dengan memberikan latihan, dan elaun khas,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top