BM | EN | 中文

Individu terlibat insiden pencemaran di Kempas akan didakwa dalam masa terdekat – Laporan

hazmat-bomba-kulai-johor-seelong-pencemaran.jpg

Gambar Ehsan Majlis Perbandaran Kulai

Advertisement

REMBAU, 26 SEPT: Lapan individu yang direman bagi membantu siasatan insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, Johor akan didakwa dalam tempoh terdekat.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata segala maklumat hasil siasatan mengenai insiden itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara sebaik selesai.

“Kita sudah kenal pasti punca pencemaran itu dan sisa bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai berkenaan sudah dihantar ke makmal (Jabatan Kimia) untuk dianalisis.

Advertisement

“Malah, kita juga sudah menahan mereka yang disyaki terbabit dalam insiden itu. Ketika ini, kita masih menunggu data lengkap untuk mengambil tindakan pendakwaan terhadap mereka.

“Kita sedang menunggu proses pembuktian daripada makmal untuk mendakwa mereka,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di Sungai Rembau Lubuk China, di sini, hari ini.

Advertisement

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Mansor Ohtman; Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan serta Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, sebelum ini dilaporkan berkata, semua suspek yang ditahan berkaitan insiden berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Dalam kejadian pada 15 September lalu, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Johor, pengsan manakala ramai dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia dari Sungai Tawakal berhampiran kampung itu.

Advertisement

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, empat wanita berusia antara 22 tahun dan 49 tahun dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, KASA komited untuk mengambil tindakan terhadap penjenayah alam sekitar yang mencemarkan sumber air dan sungai di negara ini.

Beliau berkata, agensi penguatkuasaan sudah diminta bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan jenayah terbabit.

Advertisement

“Saya berharap pindaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dapat dibentangkan di Parlimen pada awal tahun hadapan,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top