BM | EN | 中文

Individu lengkap vaksin di luar negara perlu ke IPD untuk sijil digital – Dr Adham Baba

dr-adham-baba.jpg

Dr Adham Baba

Advertisement

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Individu yang telah lengkap menerima vaksin COVID-19 di luar negara perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat untuk tujuan pengesahan dan mengemas kini bagi mendapatkan sijil digital vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata individu tersebut perlu membawa dokumen atau sijil sebagai bukti telah menerima suntikan vaksin di luar negara bagi tujuan penilaian ketulenan serta mengetahui jenis vaksin yang diterima.

“Selepas disahkan PKD, prosesnya ialah Jabatan Kesihatan Negeri akan hantar (maklumat dan data) ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Negara (CPRC) di

Advertisement

Putrajaya dan pusat itu akan memaklumkan kepada MySejahtera untuk mengemas kini dan mengeluarkan sijil digital dalam aplikasi telefon.

“Tidak kira warganegara atau warga asing, yang penting kita nak mengesahkan sama ada ia tulen atau tidak (sijil) vaksinasi yang diberikan di luar negara dan (mengetahui) jenis vaksin (diterima),” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata bagi individu yang telah mendapat vaksin COVID-19 di luar negara dan perlu masuk ke negara ini bagi tujuan pembukaan sektor ekonomi, sijil vaksinasi akan disemak dan disahkan oleh petugas kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara.

Advertisement

Mengulas mengenai Pulau Langkawi yang siap sedia menerima pelancong mulai 16 Sept ini, Dr Adham berkata petugas kesihatan juga akan ditempatkan di laluan pintu masuk ke pusat peranginan itu bagi memudahkan urusan mengesan pelancong yang telah lengkap vaksin COVID-19.

“Selain itu, kita juga akan memaklumkan kepada mereka mengenai kaedah atau prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang perlu mereka patuhi,” kata Dr Adham yang juga Pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

Sementara itu, beliau berkata setakat semalam, sebanyak 36.1 juta dos vaksin telah diberikan di seluruh negara dengan 20.4 juta individu telah menerima sekurang- kurangnya satu dos suntikan vaksin, manakala peratusan populasi dewasa lengkap vaksin di negara ini sebanyak 67.4 peratus.

Advertisement

Dalam perkembangan lain, beliau berkata CITF diminta menambah tujuh lagi PPV bergerak di Johor, berbanding 13 unit sedia ada ketika ini bagi menyegerakan proses vaksinasi, sebelum Johor berdepan musim tengkujuh.

Menurut beliau, Johor mempunyai 364 PPV dan sehingga semalam, seramai 2.25 juta rakyat negeri ini telah mendapat dos pertama manakala 1.42 juta telah melengkapkan suntikan dos kedua.

“Johor merupakan negeri kedua menerima bekalan vaksin terbanyak pada Ogos dan September serta ia masih menjadi negeri kedua menerima jumlah bekalan vaksin terbesar iaitu 1.98 juta. Saya pasti usaha pemberian vaksin di negeri ini akan dapat dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top