BM | EN | 中文

Indeks Harga Pengguna susut 1.7 peratus tahun ke tahun pada Nov 2020 – Perangkaan

jabatan-perangkaan-malaysia.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia menyusut 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 120.0 pada November 2020 daripada 122.1 bulan yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengaitkan kemerosotan IHP keseluruhan ini kepada penurunan beberapa indeks iaitu pengangkutan (-11.1 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-3.3 peratus), pakaian dan kasut (-0.5 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus) yang kesemua ini menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

“Daripada 552 item yang diliputi dalam IHP, 334 item menunjukkan peningkatan pada November 2020 berbanding November 2019 sementara 153 item mencatatkan penurunan dan 65 item tidak berubah,” kata beliau.

Advertisement

Mohd Uzir berkata makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.4 peratus tahun ke tahun kepada 135.1 berbanding 133.3 sebelumnya, menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.3 peratus, diikuti kesihatan (1.0 peratus), pendidikan (0.6 peratus), minuman alkohol dan tembakau (0.5 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.1 peratus).

Sementara itu, IHP tanpa bahan api menurun 0.1 peratus tahun ke tahun pada November 2020. IHP tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

Advertisement

Purata harga petrol tanpa plumbum RON95 menunjukkan penurunan pada November 2020 kepada RM1.63 seliter berbanding RM2.08 pada November 2019.

“Di samping itu, purata harga RON97 menguncup kepada RM1.93 seliter berbanding RM2.62 sementara purata harga diesel turun kepada RM1.75 seliter daripada RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” kata beliau.

Dalam pada itu, indeks teras meningkat 0.7 peratus tahun ke tahun pada November 2020, disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks kumpulan utama, antaranya kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.3 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (1.2 peratus) dan kesihatan (1.0 peratus),

Advertisement

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga November 2020 jatuh 1.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh penurunan dalam pengangkutan (-10.1 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-1.7 peratus) dan pakaian dan kasut (-1.0 peratus).

Bagi perbandingan bulanan, IHP menyusut 0.2 peratus pada November 2020 berbanding Oktober 2020 disebabkan oleh penurunan dalam pengangkutan (-1.0 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (-0.1 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (-0.1 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus) dan pendidikan (-0.1 peratus).

Menurut DOSM, indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -1.2 peratus hingga -2.6 peratus bagi November 2020 berbanding November 2019.

Advertisement

Penurunan tertinggi masing-masing dicatatkan oleh Melaka, Kedah dan Perlis iaitu -2.6 peratus, diikuti oleh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.5 peratus), Sarawak (-2.4 peratus) dan Negeri Sembilan (-2.4 peratus).

Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 2.0 peratus, diikuti oleh Terengganu (1.8 peratus), Johor (1.7 peratus) dan Kelantan (1.5 peratus).

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top