BM | EN | 中文

Indeks Harga Pengguna merosot 1.3 peratus pada Julai 2020

pasar-tani.jpg

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia merosot 1.3 peratus pada Julai 2020 kepada 119.9 daripada 121.5 dalam bulan sama pada tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkaan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan indeks secara keseluruhan berikutan penurunan indeks pengangkutan (-10.3 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.6 peratus), pakaian dan kasut (-0.6 peratus), dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

“Bagaimanapun, makanan dan minuman bukan alkohol naik 1.4 peratus kepada 135.0 berbanding 133.2 dalam bulan sama pada tahun sebelumnya. Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

“Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.9 peratus diikuti komunikasi (1.6 peratus), kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.2 peratus),” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Uzir juga berkata IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Julai 2020 berbanding Jun 2020.

“IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan diesel,” katanya.

Sementara itu, indeks teras meningkat 1.1 peratus pada Julai 2020 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.9 peratus), komunikasi (1.6 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.4 peratus).

IHP bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 menurun 0.9 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Penurunan ini dipengaruhi oleh pengangkutan (-10.0 peratus), pakaian dan kasut (-1.1 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-0.7 peratus).

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.7 peratus dan -2.2 peratus bagi Julai 2020 berbanding Julai 2019.

Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-2.2 peratus), diikuti oleh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.1 peratus), Sarawak (-1.9 peratus) serta Kedah dan Perlis (-1.9 peratus).

Bagaimanapun, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3 peratus), Perak (1.7 peratus), Pahang (1.7 peratus), Terengganu (1.7 peratus) dan Johor (1.6 peratus) yang turut melebihi paras nasional.

Sementara itu, Negeri Sembilan mencatatkan kenaikan yang sama dengan paras nasional iaitu 1.4 peratus bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada Julai 2020.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top