Oleh Siti Nursyahidah Abu Bakar
Bagi anda yang dalam perjalanan ke Taman Negara Tanjung Piai, Pontian pasti akan terlihat sebuah rumah yang tersergam megah di Kampung Sungai Kuali, Kukup.
Memiliki seni bina yang indah dan cukup mengagumkan, Rumah Sri Saleiwangeng atau lebih dikenali sebagai Rumah Bugis ini didiami Indok Chichuk, 74, dan keluarganya.
Kebiasaannya, ejen agensi pelancongan yang membawa pelancong ke Taman Negara Tanjung Piai pasti akan singgah di Rumah Bugis sebagai salah satu tarikan menarik di kawasan tersebut.
Meskipun tidak dibuka kepada umum seperti muzium, namun tuan rumah masih mengalu-alukan kedatangan pengunjung jika dimaklumkan lebih awal.
Malah, rumah yang mengekalkan ciri-ciri binaan tradisional identiti Bugis ini sering dikunjungi penuntut universiti yang ingin mendalami sejarah dan budaya masyarakat Bugis.
Bercerita kepada JohorKini, Indok berkata, rumah ini sebenarnya dibina semula pada 2010 setelah rumah asal mengalami kerosakan.
“Rumah asal dibina pada 1935 dan terpaksa dirobohkan akibat dimakan anai-anai di bahagian bawahnya. Saya dan keluarga membuat keputusan membina semula rumah ini dengan reka bentuk yang sama dan kos sebanyak RM2.5 juta.
“Tujuannya adalah agar warisan Rumah Bugis ini terus terpelihara dan dapat dikekalkan sehingga generasi akan datang. Lagipun, tidak banyak rumah dengan identiti Bugis dibina di sini,” katanya.
Menurut Indok, keistimewaan Rumah Sri Saleiwangeng atau bermaksud sejahtera ini ialah hampir keseluruhannya dibina tanpa paku dan menggunakan kayu belian yang tahan lama.
“Kaedah memasak dianggap masyarakat Bugis akan membuatkan sesuatu binaan lebih kukuh. Rumah Bugis juga dibina tinggi kerana masyarakat dahulu akan meletakkan peralatan padi dan tenun di bawah rumah, selain bertujuan mengelakkan banjir,” katanya.
Katanya, ciri khas seni bina Rumah Bugis ialah terdapat tebar layar bertingkat yang dapat dilihat pada bahagian bumbung.
“Tebar layar ini melambangkan darjat dan keturunan masyarakat Bugis. Kalau tiga tingkat ialah keturunan raja, manakala lima tingkat rumah bangsawan dan tujuh tingkat untuk raja,” katanya.
Menjengah ke dalam rumah, kata Indok, ia dibahagikan kepada beberapa ruang dengan fungsi tertentu.
“Bahagian depan rumah ialah bola sorong atau anjung, manakala ruang tamu dipanggil bola saliweng. Di bahagian ibu rumah atau watang poola pula kebiasaannya terletaknya tiang seri.
“Terdapat juga serambi atau dipanggil bola dengeng di bahagian depan tangga. Manakala, lawa tengah ialah ruang khas untuk menempatkan tetamu perempuan.
“Bola dapur pula ialah seperti jambatan yang menuju ke dapur dan bilik-bilik,” katanya.
Selain keindahan seni binanya, Rumah Bugis ini juga menyimpan lebih 20 barangan warisan turun temurun seperti katil, meja, cermin dan kempu dan ada di antaranya yang mencecah usia ratusan tahun.
Turut dipamerkan dalam rumah itu ialah gambar-gambar dan sejarah susur galur keturunan Indok iaitu Daeng Haddadek.
Menurut Indok, pengunjung juga boleh menginap di Rumah Bugis yang dijadikan homestay.
“Bagi menyesuaikan dengan tradisi Bugis, pengunjung akan dihidangkan dengan masakan Bugis seperti lepat loi dan burasak. Mereka juga akan didedahkan dengan seni dan budaya masyarakat Bugis melalui persembahan tarian dan nyanyian Bugis,” katanya.
JohorKini