BM | EN | 中文

Imunisasi Covid-19: Kerajaan Johor perlu pergiat lagi usaha daftar orang ramai – Shu Qi

Wong-Shu-Qi-mp-kluang.jpg
Advertisement

KLUANG, 9 APR: Ahli parlimen Kluang, Wong Shu Qi menggesa agar kerajaan Johor menggiatkan lagi usaha untuk membantu orang ramai mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurut Shu Qi, berdasarkan data kerajaan, hanya 36.6 peratus golongan dewasa di Johor yang telah mendaftar dalam program tersebut setakat 6 April 2021.

“Jika kita ingin membuka semula sempadan antara Malaysia dan Singapura bagi membenarkan ribuan keluarga bersatu semula, kerajaan mesti menggunakan pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ untuk mempercepat pendaftaran, khususnya di Johor.

Advertisement

“Pada masa ini kita sepatutnya sudah jelas yang lebih awal kita mencapai imuniti kelompok menerusi vaksinasi, lebih cepat kita dapat pulih daripada kemerosotan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Shu Qi, antara usaha yang diambil DAP di kawasan Parlimen Kluang adalah untuk mendapatkan bantuan bekas ahli majlis dan ketua kampung untuk membantu pendaftaran.

Katanya, kerajaan negeri juga perlu melakukan langkah yang sama dengan mengarahkan semua ahli majlis dan ketua kampong untuk terlibat.

Advertisement

“Ini masanya semua lantikan politik untuk bekerjasama setelah bersaing merebut jawatan,” katanya.

Tambah Shu Qi, sepanjang pengalaman pejabatnya melakukan kempen pendaftaran di pasar dan kawasan luar bandar, beliau mendapati ramai yang tidak mendaftar lagi kerana mereka kurang mahir menggunakan teknologi terutama golongan warga emas.

“Ini dibuktikan oleh statistik seluruh negara yang menunjukkan bandar seperti Johor Bahru dan Kulai ada kadar pendaftaran yang tinggi, manakala daerah lain dengan populasi golongan muda yang kecil dan masyarakat luar bandar yang besar dengan kadar lebih rendah.

Advertisement

“Jurang digital dan usia menjadi antara halangan utama di Johor untuk mencapai imuniti kelompok,” ujarnya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top