BM | EN | 中文

Impak Covid-19: MoTAC cadang kerajaan kurangkan cukai kepada industri

IMG-20200223-WA0012.jpg

Pihak MoTAC, wakil kerajaan Johor bersama penggiat industri pelancongan Johor pada sesi Townhall Tourism Recovery Action Committee (TRAC) di Hotel Fraser Place, Puteri Harbour, hari ini

Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 23 FEB: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) akan mengemukakan beberapa cadangan antaranya memohon agar kerajaan mengurangkan kadar cukai kepada industri yang terjejas susulan penurunan jumlah pelancong ke Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha MoTAC (Pelancongan), Mohd Zamri Mat Zain berkata, pengurangan itu dicadangkan kepada tahap minimum bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Katanya, ia meliputi kelonggaran pembayaran pinjaman bagi hotel-hotel yang membuat pinjaman dengan institusi bank, menurunkan kadar takrif elektrik bagi hotel dari takrif komersial kepada takrif industri sehingga krisis berakhir.

Advertisement

Selain itu kata Mohd Zamri, cadangan tersebut merangkumi penangguhan bayaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) majikan, selain menukar tarif utiliti daripada komersial kepada industri dan beberapa cadangan lagi.

“Susulan perbincangan ini pada 11 Februari 2020 lalu, Kementerian Kewangan telah memanggil satu mesyuarat dihadiri penggiat-penggiat industri tempatan dan peniaga-peniaga tempatan untuk mendapatkan input dan gambaran sebenar permasalahan yang dihadapi.

“Dalam masa sama, Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melancarkan pakej rangsangan ekonomi pada awal Mac bagi meningkatkan ekonomi tempatan berikutan cabaran yang dihadapi akibat penularan Covid-19,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada Jelajah Townhall Tourism Recovery Action Committee (TRAC) bersama penggiat industri pelancongan Johor di Hotel Fraser Place, Puteri Harbour, disini hari ini.

Terdahulu Mohd Zamri berkata, jangkitan Covid-19 di Malaysia masih dalam kawalan dan berada pada tahap pembendungan awal memandangkan tiada kes jangkitan baru dilaporkan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi sebarang kemungkinan penularan virus ini memasuki fasa seterusnya iaitu Tahap Pembendungan Akhir dan Tahap Mitigasi.

Advertisement

“Kita berdoa semoga ancaman virus ini akan berakhir segera dan keadaan kembali pulih seperti sediakala bagi menghilangkan kegusaran dan rasa takut rakyat,” katanya lagi.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top