BM | EN | 中文

Imigresen serbu pusat karaoke terkenal, tahan GRO

wanita-1-01-scaled.jpg

Antara wanita ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pusat karaoke di kawasan Endau pada Ahad lalu.

Advertisement

JOHOR BAHRU, 16 JAN : Seramai 20 orang wanita warganegara Vietnam yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) serta tiga orang penjaga premis warga tempatan ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pusat karaoke di kawasan Endau, pada Ahad lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dijalankan ke atas sebuah premis karaoke yang menyediakan pelayan wanita warga asing serta menjalankan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.

Katanya, premis tersebut dikatakan kebal kerana dikawal ketat oleh tonto yang akan menyampaikan maklumat supaya pelayan-pelayan wanita warga asing ini melarikan diri sekiranya kehadiran pihak berkuasa dapat dihidu.

Advertisement

Serbuan berkenaan dijalankan sepasukan 23 Pegawai Imigresen dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan 7 Pegawai dari Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK).

Semasa serbuan, terdapat cubaan melarikan diri oleh pelayan-pelayan wanita dan beberapa pelanggan sehingga berlaku pergelutan antara Pegawai Imigresen dan pelanggan yang bertindak agresif.

Dalam serbuan berkenaan seramai 60 orang individu telah diperiksa dan hasilnya seramai 23 orang telah ditahan secara keseluruhan.

Advertisement

Wang tunai berjumlah RM4,350 turut dirampas kerana disyaki merupakan hasil perniagaan di premis tersebut.

Siasatan awal mendapati bayaran dikenakan sebanyak RM70 bagi tempoh masa satu jam untuk melayan pelanggan di bilik karaoke.

Premis tersebut juga menawarkan beberapa jenis dadah kepada pelanggan bermula dari harga RM60 hingga RM250. Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan oleh pegawai AADK mendapati 7 daripada pelanggan didapati positif dadah.

Advertisement

Sebanyak 37 Borang 29 (Saman Saksi) dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan, supaya hadir ke pejabat imigresen memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

Kesemua tahanan ini dibawa ke Pejabat Imigresen Mersing, Johor bagi tujuan dokumentasi dan siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top