JOHOR BAHRU, 20 JUL: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor akan menyiasat kemungkinan terdapat penglibatan ‘orang dalam’ berhubung sindiket pemalsuan dokumen yang digempur pihaknya dalam satu serbuan di Senai, Sabtu lepas.
Pengarahnya Baharuddin Tahir pada sidang media hari ini berkata, teknik yang digunakan sindiket menunjukkan mereka mahir dengan penggunaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sistem diguna pakai.
Katanya, sindiket itu dipercayai beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan kerana melihat keperluan sektor-sektor utama seperti pembinaan yang telah dibuka memerlukan tenaga kerja asing.
“Jadi ini memang seiring. Ada permintaan dan penawaran,” katanya, lapor Bermama.
Baharuddin berkata daripada siasatan awal pihaknya juga, sindiket didalangi seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai “Bagas” berusia 38 tahun yang sudah tujuh tahun bekerja di Malaysia menggunakan permit kerja sah.
Sindiket turut dipercayai mengenakan bayaran antara RM120 hingga RM250 untuk setiap dokumen yang dipalsukan dengan pasaran dan sasaran mereka ialah pemegang pasport Indonesia.
“Dalam operasi ini, kita berjaya merampas 23 keping sijil pemeriksaan COVID-19/SARS-CoV-2 daripada sebuah hospital swasta dan dan 18 i-Kad JIM yang dipercayai palsu namun kami percaya mungkin lebih banyak dokumen yang telah dipalsukan daripada jumlah yang ditemukan,” katanya sambil menambah selain Bagas, tiga lagi warga Indonesia turut ditahan dalam serbuan sama.
Keempat-empat suspek itu yang termasuk isteri Bagas dan seorang pelanggan mereka kini direman selama 14 hari bermula 19 Julai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55 dan 56 Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12 Akta Pasport 1966,” katanya.
Sementara itu, berhubung penahanan beberapa pegawai JIM Johor yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran di Johor baru-baru ini, Baharuddin berkata pihaknya tidak akan berkompromi malah akan bekerjasama dengan semua agensi penguatkuasa lain untuk menyiasat perkara itu.
“Di peringkat JIM, semua pegawai dan anggota tertakluk kepada peraturan seperti yang berkenaan dengan kelakuan tatatertib dan sebagainya dan siasatan dalaman memang ada dibuat,” katanya.
Johorkini