JOHOR BAHRU, 11 NOV: Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) kini secara rasmi dikenali sebagai Iskandar Rapid Transit.
Dalam satu kenyataan Selasa lalu, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata nama yang dipilih sebagai pemenang dihantar oleh Syazlina Jasni, setelah IRDA menerima lebih 200 penyertaan untuk peraduan yang dianjurkan pada April lalu hingga Mei tahun ini.
la berkata pemenang hadiah utama Peraduan Cipta Jenama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM3,000 dan RM2,000 serta setiap satu Pas Perjalanan Iskandar Rapid Transit selama setahun.
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata penyertaan itu menunjukkan rakyat Johor teruja dan tidak sabar untuk mengalu-alukan perkhidmatan pengangkutan awam bersepadu yang baharu di Iskandar Malaysia dan sistem Bas Rapid Transit komprehensif pertama di Malaysia.
“Dengan visi kami untuk Iskandar Malaysia menjadi metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan menjelang 2025, kami percaya Iskandar Rapid Transit akan meningkatkan mobiliti penduduk di negeri ini dan menjadi tulang belakang infrastruktur awam yang menghubungkan ke hab pengangkutan utama di Iskandar Malaysia, Lapangan Terbang Senai, Sistem Rapid Transit, Larkin Sentral dan Puteri Harbour,” katanya.
Iskandar Rapid Transit, apabila dilaksanakan sepenuhnya, akan dapat menghubungkan 55 laluan pengantara dan 44 laluan terus dengan laluan utama meliputi 28 stesen.
Bernama