BM | EN | 中文

IMBRT akan lalui ujian rintis selama tiga bulan – IRDA

IMBRT-IRDA.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 MAC: Projek Bas Alihan Cepat Iskandar Malaysia (IMBRT) akan mencapai fasa seterusnya yang melibatkan program ujian rintis selama tiga bulan.

Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata ujian rintis itu akan juga melibatkan penyertaan sembilan pembekal bas bagi pelaksanaan demonstrasi teknologi bas hijau terkini meliputi elektrik dan biodiesel.

Beliau berkata ia akan dijalankan oleh IRDA di sepanjang laluan Lebuhraya Sultan Iskandar di antara Horizon Hill dengan Anjung di Medini mulai 8 April.

Advertisement

“Pembekal ini akan mengetengahkan bas bersaiz enam meter, 12 meter dan 32 meter. Satu kajian juga akan dilaksanakan oleh Institut Pengangkutan Malaysia untuk menilai prestasi sistem alihan cepat automatik, terutama melibatkan keupayaan belok, mudah dikendalikan dan pertukaran laluan.

“Bas-bas bersaiz enam meter akan melalui penilaian kebolehlaksanaan laluan penghantar selain tempoh hayat bateri (bagi setiap perjalanan) untuk bas elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail berkata program itu akan menjadi satu pencapaian penting bagi IMBRT memandangkan projek tersebut dilaksanakan pada tahap maksimum.

Advertisement

“Infrastruktur pengangkutan awam yang cekap dan bersepadu merupakan pemangkin untuk menarik pelaburan asing dan domestik ke wilayah ini bagi menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi.

“Kami yakin sistem IMBRT akan mempertingkatkan mobiliti penduduk menerusi penyediaan kesambungan dan akses menyeluruh di Iskandar Malaysia,” katanya.

IMBRT, yang ditetapkan sebagai tulang belakang pengangkutan awam di Iskandar Malaysia, bermatlamat untuk memperluas liputan pengangkutan awam di wilayah itu daripada 39 peratus kepada 90 peratus selain meningkatkan bahagian mod pengangkutan awam daripada 15 peratus kepada 40 peratus pada 2025.

Advertisement

IMBRT akan menyediakan 55 perkhidmatan penghantar dan 44 perkhidmatan terus, menjadikan liputan rangkaian keseluruhan seluas 2,051 kilometer atau hampir 90 peratus daripada kawasan berpenduduk di Iskandar Malaysia.

Laluan utama bagi IMBRT adalah sepanjang 54.92 kilometer melalui Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri.

Projek itu merangkumi 33 stesen, dengan satu hab di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Laluan Skudai.

Advertisement

Laluan utama akan mempunyai dua stesen akhir iaitu di Desa Jaya melalui Laluan Tebrau dan di Anjung menerusi Laluan Iskandar Puteri.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top